Berita

Sarawak Energy Lantik Ibrahim Baki Sebagai Pengerusi Berkuat Kuasa 1 Oktober

Credit: FB - Sarawak Energy Berhad

KUCHING, 3 Okt (Bernama) -- Sarawak Energy Bhd (SEB) melantik Ahli Dewan Undangan Negeri Satok dari Gabungan Parti Sarawak Datuk Ibrahim Baki sebagai pengerusi berkuat kuasa 1 Oktober lepas.

Ibrahim menggantikan Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi yang telah berkhidmat dengan syarikat itu sejak 2005, meneraju transformasi syarikat sebagai pemain serantau utama dalam tenaga boleh baharu dan kemampanan.

“Ibrahim membawa bersama pengalaman lebih tiga dekad dalam industri seperti pembangunan hartanah, perkapalan dan media,” kata SEB dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang perundangan memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang di Petroliam Nasional Bhd pada 1984 sebelum mengasaskan bersama firma guaman di Sarawak.

Sementara itu, SEB berkata di bawah kepimpinan Abdul Hamed, syarikat itu berkembang daripada syarikat utiliti tradisional yang mempunyai 2,042 pekerja dengan kapasiti penjanaan 849 megawatt (MW) pada 2005, kepada lebih 6,000 pekerja dan kapasiti 5,745 MW pada masa ini.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, syarikat mencapai 99.5 peratus elektrifikasi di seluruh negeri, meningkat daripada 80 peratus pada 2009," katanya.

Sumbangan Abdul Hamed merangkul pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Usahawan Terbaik Sarawak pada 2004 dan 2005 serta Anugerah Kepimpinan Ikon Jenama BrandLaureate 'Man of the Year' pada 2015.

Pada 2022, beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Usahawan Muslim Global Cemerlang di Forum Perniagaan Muslim Global.

Pada 2023, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Abdul Hamed dalam badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan, yang dianggotai golongan profesional serta pakar ekonomi.

Sementara itu, SEB turut menyatakan penghargaan kepada Tan Sri Mohd Hassan Marican yang berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutifnya dari 9 Jun 2010 hingga 1 Ogos 2024.

-- BERNAMA

 

 

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]