Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata PCDS 2030 diperkenalkan pada 2021, dengan TBB dikenal pasti sebagai pemboleh sumber pertumbuhan sosio-ekonomi, bertujuan untuk mengubah Sarawak menjadi masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Tenaga hidro memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan grid Sarawak sebanyak 73 peratus antara 2010 dan 2022.
"Ia juga telah mempercepatkan elektrifikasi luar bandar dan memupuk pembangunan inklusif, membolehkan kami memperkasakan kemajuan kami melalui sumber tenaga bersih," katanya dalam ucaptama di Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) hari ini.
Di bawah PCDS 2030, Sarawak menyasarkan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus campuran kapasiti TBB dan menjana 15 peratus pendapatan sektor TBB daripada pasaran asing menjelang 2030.
Tenaga hidro kini menyumbang kira-kira 70 peratus daripada campuran penjanaan elektrik Sarawak, kata Abang Johari.
Beliau turut menekankan bahawa pencapaian negeri itu dalam tenaga hidro telah mengupayakan inovasi, seperti pembangunan ladang solar terapung terbesar di Malaysia di Batang Ai, seluas 86 hektar, yang akan mengimbangi 52 kiloton pelepasan karbon setiap tahun.
Sarawak juga sedang meneroka Penyimpanan Tenaga Hidro Dipam (PHES), dan apabila dipasangkan dengan solar terapung, akan memanfaatkan cahaya matahari dan infrastruktur tenaga hidro sedia ada untuk meningkatkan keterjaminan tenaga negeri, katanya.
Selain itu, Sarawak juga semakin maju dalam penjanaan kuasa biojisim dan penanaman mikroalga, termasuk memanfaatkan rumput Napier sebagai sumber biotenaga boleh baharu.
Abang Johari berkata pelet rumput Napier yang dihasilkan di kilang Bintulu kini dieksport ke United Kingdom, mempamerkan potensinya dalam pasaran tenaga global.
Mengenai minyak dan gas (O&G), Abang Johari berkata perbincangan anak syarikat kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros), dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung penyeliaan perdagangan O&G di negeri itu masih diteruskan.
"Tiada isu besar, hanya berbincang mengenai beberapa pengaturan teknikal antara Petros dan Petronas. Kami telah mencapai pengaturan tertentu dalam kebanyakan perkara, dan isu teknikal yang selebihnya sedang dibincangkan," katanya pada sidang media.
-- BERNAMA
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
PUTRAJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia mengumumkan permohonan kuota tarif galakan (FiT) 2.0 sebanyak 190 megawatt (MW) akan dibuka bermula 15 Jan hingga 19 Feb tahun hadapan.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]