Berita

Terengganu Inc, TNB Genco Bangunkan Ladang Solar Terapung Jana 2,000MW Tenaga Elektrik

Credit: Terengganu Inc

KUALA TERENGGANU, 11 Sept (Bernama) -- Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dengan kerjasama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) mewujudkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang dijangka menjana sehingga 2,000 megawatt (MW) tenaga elektrik.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dalam tempoh enam bulan akan datang, sebanyak 400MW tenaga elektrik akan dihasilkan dengan kos RM2 bilion, dan semua itu bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan baharu negeri.

“Usaha ini selari dengan matlamat kerajaan negeri bagi menjana 1,000MW tenaga daripada solar dalam tempoh lima tahun akan datang yang akan meningkatkan kapasiti penjanaan melebihi 30 peratus menjelang 2025.

“Terengganu Inc juga menjayakan agenda nasional dengan menggalakkan semua subsidiari menjana tenaga solar menerusi pemasangan panel di premis perniagaan mereka,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena Program Latihan Korporat Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan Terengganu Inc, di sini malam tadi.

Beliau yang juga pengerusi syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri itu berkata Terengganu Inc telah merekodkan peningkatan jumlah hasil dengan RM558 juta kepada RM1.5 bilion pada tahun lepas daripada RM964 juta pada 2018.

Ahmad Samsuri berkata Terengganu Inc mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM43 juta pada 2018 namun kembali mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM78 juta pada 2021, RM76 juta pada 2022 dan RM46 juta pada 2023.

“Bagi tahun ini, kumpulan menyasarkan pendapatan RM1.8 bilion atau 24 peratus melebihi pendapatan tahun lepas. Keuntungan sebelum cukai dianggarkan mencecah RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata dalam melangkah ke hadapan, Terengganu Inc telah dan akan mengambil beberapa langkah signifikan untuk memastikan keuntungan yang berterusan antaranya mengurangkan kebergantungan kepada tanaman kelapa sawit dengan tidak menambah kawasan tanaman baharu. 

Terengganu Inc akan memperkenalkan langkah penambahbaikan dalam operasi dan peningkatan kecekapan di ladang sedia ada, katanya.

“Selain potensi beberapa projek tenaga boleh baharu, projek penghasilan tenaga solar juga sedang diusahakan termasuk untuk pasaran tenaga ke luar negara di bawah program Penjualan Elektrik Rentas Sempadan (CBES).

“Kita juga bersungguh-sungguh mengusahakan program Kredit Karbon yang mampan dan mampu menjana pendapatan baharu kepada syarikat dan negeri. Setakat ini Terengganu Inc sedang menjalankan dua projek rintis dalam merealisasikan sumber baharu pendapatan,” katanya. 

Beliau berkata sektor penjagaan kesihatan juga sedang dikembangkan susulan kadar pertumbuhan yang tinggi sejak tiga tahun lepas dan dijangka mencecah RM900 juta pada 2030 berbanding lebih RM300 juta yang dicatatkan ketika ini.

“Selain itu, ada satu projek yang boleh dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC)…yang saya tidak boleh sebut lagi. Insya-Allah mempunyai potensi yang tinggi untuk memperoleh projek berkenaan,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Singapura Berminat Kukuhkan Kerjasama Dengan Sarawak Berkaitan Tenaga Boleh Diperbaharui

KUCHING, 11 Sept (Bernama) -- Singapura berminat untuk mengukuhkan kerjasama dengan Sarawak, terutama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui kerana lokasinya yang strategik dan sumber asli yang luas, kata Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua bagi Perdagangan dan Industri Singapura Dr Tan See Leng.


PETRA, Johor Kerjasama Pastikan Bekalan Air Dan Tenaga Cukup Bagi Pelabur

KLUANG, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan bekerjasama erat dengan kerajaan Johor bagi memastikan bekalan air dan tenaga mencukupi untuk keperluan pelabur di negeri ini.


Fadillah Lawat ACE Dalami Kerjasama Pembangunan Tenaga ASEAN

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 5 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan lawatan ke ibu pejabat Pusat Tenaga ASEAN (ACE) di sini untuk mengetahui perancangan pusat berkenaan bagi membentuk kerjasama pembangunan tenaga dalam kalangan negara-negara ASEAN, terutamanya dari segi pembangunan Grid Kuasa ASEAN. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]