KLUANG, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan bekerjasama erat dengan kerajaan Johor bagi memastikan bekalan air dan tenaga mencukupi untuk keperluan pelabur di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu sejajar pertumbuhan pusat data di Johor selain pelaksanaan inisiatif ekonomi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Saya ucapkan syabas kepada kerajaan Johor kerana ada perancangan memastikan isu bekalan air di kawasan ini tidak berulang, apatah lagi negeri ini merupakan tempat tumpuan pelabur khususnya JS-SEZ selain pusat data.
"PETRA akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Johor untuk memastikan bekalan air yang diperlukan pelabur selain bekalan tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui," katanya pada sidang media selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Kahang sempena Lawatan Kerja di Daerah Kluang di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata jika ia dilaksanakan, kerajaan pusat dan negeri akan dapat memastikan kesejahteraan, keterjaminan air dan tenaga selain turut menjaga kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Fadillah berkata pembinaan LRA Kahang yang menelan kos RM149 juta dan berkapasiti 40 juta liter sehari dengan tempoh operasi pertama (OP1) bermula 1 April 2024 hingga 31 Dis 2027, dijangka menamatkan gangguan bekalan air di Kluang dan kawasan berdekatan.
"LRA ini mampu memberi manfaat kepada 21,500 akaun pengguna dan membekalkan air kepada kira-kira 86,000 orang termasuk di kawasan Felda Bukit Permai, Renggam, Layang-Layang dan Gugusan Murni Jaya.
"Lawatan kerja ini merupakan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan infrastruktur asas baik dalam penyediaan bekalan air bersih mahupun tenaga elektrik mencukupi," katanya.
Pada 15 Ogos lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han dilaporkan berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan syarat baharu pembangunan pusat data di negeri ini membabitkan penggunaan kitar semula air, air hujan dan teknologi terkini.
Lee berkata langkah itu dibuat bagi mengelakkan bekalan ke pusat data menjejaskan penggunaan air dan tenaga elektrik domestik di negeri ini susulan pihaknya menjangkakan pusat data di Johor akan terus berkembang pesat hingga 2028.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]