Berita

Peralihan Tenaga Bersih Di KHTP Boleh Jadi Teladan Taman Perindustrian Lain

Deputy Prime Minister Datuk Seri Fadillah Yusof (middle)

KULIM, 30 Ogos (Bernama) -- Usaha peralihan tenaga bersih yang dilaksanakan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) boleh dijadikan contoh kepada taman teknologi perindustrian di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata usaha di KHTP itu seiring dengan aspirasi sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Dalam landskap tenaga dunia, negara dengan ekonomi yang pesat membangun telah mula menggalakkan peralihan tenaga secara berkesan.

“Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia, Menggalakkan Peralihan Tenaga Berkesan 2023, negara seperti China, India, Brazil dan Indonesia merupakan antara negara utama dunia yang menunjukkan lonjakan ketara dalam peralihan tenaga,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Jana Kuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka 90MW, NUR Power Sdn Bhd di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kebanyakan negara telah mengalihkan tumpuan kepada keselamatan tenaga dengan mengutamakan jaminan pembekalan, mengenepikan ekuiti dan melaksanakan peralihan yang lebih pantas serta inklusif untuk masa depan tenaga yang lebih mampan, selamat dan saksama.

Beliau menegaskan hala tuju yang digariskan dalam NIMP 2030 dan NETR akan kekal sebagai sekadar polisi jika tidak disokong oleh pemain industri.



“Dasar dan hala tuju kerajaan pada masa hadapan akan berpaksikan kepada peralihan tenaga yang seimbang yang perlu diuruskan secara berkesan.

“Peralihan tenaga akan menjadi paksi utama dalam pelbagai sektor termasuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang akan menggalakkan tenaga bersih, inovasi, dan kecekapan tenaga di samping memastikan peralihan itu memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata menerusi turbin gas kitaran terbuka NUR Power yang dilancarkan hari ini dijangka menjana kuasa hingga 90 megawatt (MW), tambahan kepada keupayaan penjanaan sedia ada oleh NUR Power iaitu sebanyak 220MW bagi memenuhi permintaan elektrik di KHTP yang semakin meningkat.

Menurut Fadillah pelaburan berskala besar dan berteknologi tinggi di KHTP hanya dapat direalisasikan dengan adanya bekalan tenaga yang konsisten dan boleh dipercayai untuk menyokong operasi mereka.

Beliau berkata ini termasuk pelaburan syarikat gergasi dari Jerman, Infineon Technologies AG yang menambah pelaburan sebanyak €5 bilion atau kira-kira RM30.1 bilion untuk fasa kedua pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200-milimeter di KHTP, baru-baru ini.

“Dengan wujudnya stesen jana kuasa yang baharu, saya yakin KHTP akan kekal menjadi pilihan utama pelabur melalui prasarana yang bertaraf dunia, cekap tenaga dengan menawarkan tarif yang kompetitif di Semenanjung ketika ini,” katanya.

Pada majlis tersebut Fadillah turut menyaksikan upacara pertukaran dokumen perjanjian antara NUR Power dan UEM Lestra Bhd, anak syarikat UEM Group Bhd dengan UEM Lestra mengambil alih hingga 51 peratus kepentingan dalam NUR Power.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi NUR Power Datuk Mohd Sidek Ahmad dan Pengarah Urusan NUR Power Ikwan Hafiz Jamaludin.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]