GEORGE TOWN, 29 Ogos (Bernama) -- Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata potensi untuk bekalan tenaga hijau di Pulau Pinang amat baik khususnya di Stesen Janakuasa Gelugor (SJG) di sini yang telah beroperasi selama lebih 20 tahun.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata kerjasama antara Tenaga Nasional Berhad Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pembangunan sumber tenaga di SJG akan memastikan keterjaminan dan kestabilan bekalan tenaga di Pulau Mutiara itu.
“Saya sendiri dah melihat tadi dan potensi untuk bekalan tenaga hijau di Pulau Pinang ini amat baik sekali, saya suka melihat kerjasama ini… ini sudah pasti bukan sahaja memberi peluang pekerjaan tetapi juga menambah pendapatan kepada pihak negeri itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB Genco dan PDC di sini malam ini.
MoU yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan TNB Genco Muhamad Nazri Pazil dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC Datuk Aziz Bakar itu adalah permulaan proses ke arah kelangsungan sumber tenaga di Pulau Pinang dengan kajian kebolehlaksanaan bagi projek re-powering serta penaiktarafan kapasiti SJG yang akan tamat Perjanjian Pembelian Kuasanya (PPA) akhir bulan ini.
Muhamad Nazri pula berkata pelan implementasi projek itu dijangka disiapkan melalui dua fasa dengan yang pertama merangkumi aeroderivatif dengan kapasiti 300 megawatt (MW) dan BESS dengan kapasiti 200MWh di tapak tanah kosong seluas sembilan ekar tertakluk kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan manakala fasa kedua akan menempatkan 900 MW BESS di tapak selebihnya.
"Apabila siap kelak, loji ini adalah antara yang termoden dalam kelasnya dengan reka bentuk tersendiri, mesra alam dan penampilan estetik dengan persekitaran selain boleh menjimatkan kos disebabkan telah tersedia infrastruktur seperti saluran paip gas dan talian penghantaran,” katanya.
Bagi Aziz, MoU itu adalah permulaan proses ke arah pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan projek pembangunan sumber tenaga hijau khususnya di SJG dan berharap ia menjadi perintis kepada PDC dalam penerokaan tenaga hijau serta boleh diperbaharui di kawasan pembangunannya yang baharu.
Dengan kapasiti penjanaan sebanyak 330MW, SJG telah membekalkan sekitar 40 peratus daripada permintaan bekalan semasa Pulau Pinang manakala bekalan selebihnya dibawa melalui sambungan grid dari tanah besar.
Justeru itu, setelah SJG berhenti beroperasi, kebergantungan 100 peratus kepada bekalan melalui grid yang merentasi laut boleh memberi risiko sekiranya tiada loji penjanaan di bahagian pulau yang bertindak sebagai bekalan kuasa tidak terganggu (UPS) dan boleh memberi sokongan kepada MW atau voltage dip dengan cepat.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]