Berita

Universiti Swinburne Sarawak Bangunkan Pusat R&D Tenaga Diperbaharui, Teknologi Avionik

Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 27 Ogos (Bernama) -- Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak akan membangunkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di sini yang menumpukan kepada tenaga diperbaharui serta sektor avionik berteknologi tinggi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tapak bagi menempatkan pusat penyelidikan baharu itu akan dikenal pasti dan inisiatif tersebut membolehkan universiti berkenaan menumpukan kepada penyelidikan kaedah baharu pengagihan tenaga.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memetik beliau dalam satu kenyataan sebagai berkata kerajaan Persekutuan telah mengenal pasti Sarawak sebagai tempat untuk melancarkan satelit dan ini ada hubung kait dengan aeroangkasa. 

“Di kampus ini, kita akan melihat bahan mentah yang digunakan dalam penerbangan seperti dron, komponen kapal terbang dan komponen lain yang mesti mempunyai material yang kuat dan ringan, termasuk komposit,” katanya.

Abang Johari yang kini dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Melbourne, Australia berkata kerajaan Sarawak akan berkolaborasi dengan kampus induk Universiti Teknologi Swinburne di Hawthorn, Australia untuk mendapatkan tenaga pengajar bagi membolehkan pusat penyelidikan di Kuching itu beroperasi.

“Saya lihat tenaga pengajarnya ada di kampus utama yang kita boleh kongsi bersama dengan institusi pengajian di Sarawak dalam program perkongsian ilmu. Dari sudut aeroangkasa, mungkin kita boleh terlibat dengan NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan) di Amerika Syarikat,” katanya.

Abang Johari berkata Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan kampus induknya akan mengadakan program pertukaran pelajar di peringkat pengajian doktor falsafah selama 18 bulan, dengan separuh dari tempoh program itu dijalankan di Kuching dan selebihnya di Australia.

Beliau berkata perkongsian ilmu baharu ini penting kerana Sarawak mempunyai kelebihan dengan memiliki tenaga diperbaharui bagi menghasilkan bahan-bahan baharu dan pelajarnya perlu mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk menguasai teknologi baharu ini.

-- BERNAMA

 

 


 




    Berita Lain-lain

OCBC Bank Berperanan Penting Dalam Peralihan Tenaga

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- OCBC Bank Singapura yakin mempunyai peranan penting untuk membolehkan pembangunan mampan dan menyokong peralihan tenaga yang adil dengan menawarkan modal kepada projek dan syarikat yang menyumbang secara langsung terhadap peralihan meyakinkan.


Penglibatan Semua Segmen Masyarakat Penting Untuk Capai Kejayaan Peralihan Tenaga - Fadillah

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kejayaan peralihan tenaga Malaysia bergantung kepada penglibatan semua segmen masyarakat yang aktif, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


PCMC Revolusi Perkhidmatan Kecemasan Dengan Ambulans Motosikal Elektrik Pertama Negara

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) dengan kerjasama First Ambulance, melancarkan ambulans motosikal elektrik pertama di Malaysia sebagai perkhidmatan respons pertama, sebagai komitmen hospital itu menyediakan bantuan perubatan menyelamatkan nyawa lebih pantas dan meningkatkan penjagaan kecemasan.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]