Berita

Penglibatan Semua Segmen Masyarakat Penting Untuk Capai Kejayaan Peralihan Tenaga - Fadillah

Deputy Prime Minister also Minister of Energy Transition and Water Transformation Datuk Seri Fadillah Yusof addressing the closing ceremony of the International Sustainable Energy Summit (ISES) 2024 at Kuala Lumpur Convention Centre today.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kejayaan peralihan tenaga Malaysia bergantung kepada penglibatan semua segmen masyarakat yang aktif, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau menggesa usahawan dan inovator muda untuk menceburi sektor tenaga boleh baharu dan tenaga baharu untuk menyokong usaha kerajaan dalam memacu agenda peralihan tenaga negara.

“Saya berharap pada masa depan, golongan belia kita mempunyai kemampuan bukan sahaja menggunakan tenaga secara mampan tetapi juga menerajui perbincangan mengenai penyelesaian tenaga. Saya yakin mereka akan memperjuangkan dasar yang memberikan keutamaan kepada kelestarian dan terus mencabar status quo.

“Dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran, pengetahuan dan peluang yang diperlukan, kita bukan sahaja melabur dalam masa depan mereka tetapi juga memastikan kebolehpercayaan dan kemampanan jangka panjang landskap tenaga kita,” katanya dalam ucapan pada majlis penutup Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024 di sini hari ini.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata cabaran berkaitan jurang kemahiran dan impaknya terhadap kecekapan dan produktiviti dalam industri telah didokumentasikan dengan baik.

“Oleh itu, kita perlu merombak strategi pembangunan bakat kita dengan menyusun semula sistem untuk menggalakkan peningkatan kemahiran dan latihan semula di setiap peringkat.

“Ini bukan hanya mengenai mengisi kekosongan jawatan tetapi secara strategik membentuk saluran bakat yang mampan, terutamanya dalam kalangan belia kita,” katanya.

Fadillah berkata untuk beralih sepenuhnya kepada masa depan yang lebih hijau, negara perlu menerapkan masyarakat yang celik tenaga dengan memahami bekalan, sumber, corak penggunaan tenaga dan implikasi alam sekitar daripada setiap keputusan.

“Menyedari keperluan ini, kerajaan MADANI telah mewujudkan Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP), inisiatif untuk mendidik rakyat dengan maklumat tenaga yang dipercayai serta mewujudkan komuniti pembuat keputusan yang berpengetahuan dan bersedia untuk menyokong kelestarian tenaga,” katanya.

ISES 2024 selama dua hari dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia. 

Sidang kemuncak itu, bertemakan “Accelerating Energy Transition Through Innovation”, dihoskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]