Daripada Nurul Hanis Izmir
LIMA (PERU), 16 Ogos (Bernama) -- Malaysia menggesa kepada lebih banyak perkongsian awam-swasta (PPP) dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk memacu peralihan tenaga dalam kalangan ekonomi anggota selain memastikan keterangkuman dan kemampanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata dengan mewujudkan persekitaran yang menyokong melalui rangka kerja kawal selia yang menyediakan kestabilan untuk pelabur dan menggalakkan ekosistem melalui penyelidikan dan pembangunan, ekonomi anggota APEC boleh meningkatkan lagi pembangunan dan penggunaan penyelesaian tenaga bersih.
“PPP penting dalam menggerakkan sumber, kepakaran dan inovasi untuk peralihan tenaga,” katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC ke-14 (EMM14) semalam.
Beliau berkata Malaysia telah mewujudkan beberapa model PPP yang berjaya yang boleh dijadikan sebagai panduan oleh ekonomi anggota APEC.
Misalnya, katanya program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) negara yang diperluaskan melalui NEM 3.0, membolehkan pengguna menjana elektrik melalui pemasangan solar fotovoltan.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata program Solar Berskala Besar (LSS) Malaysia melalui bidaan yang kompetitif, telah menarik pelaburan sektor swasta yang besar, meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu ekonomi tempatan.
Selain itu, katanya program Sijil Tenaga Boleh Baharu dan Penggunaan Sendiri menyediakan ruang kepada pengguna dan perniagaan untuk menyumbang secara kolektif kepada matlamat Malaysia untuk meningkatkan tenaga boleh baharu dalam campuran tenaganya.
Fadillah berkata Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dengan melancarkan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat baru-baru ini, bertujuan untuk membuka akses pihak ketiga kepada grid elektrik negara.
“Ini akan membolehkan pembeli tenaga elektrik merundingkan harga secara langsung dengan loji tenaga boleh baharu, menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan mereka yang terlibat dalam tenaga hijau dan menarik lebih ramai pemain industri tempatan.
“Langkah ini sejajar dengan matlamat kami untuk meningkatkan komposisi tenaga boleh baharu kepada 70 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan menjelang 2050,” katanya.
Fadillah menekankan bahawa peralihan tenaga perlu bersifat menyeluruh, menyepadukan kemampanan, keterangkuman dan adil.
“Negara turut komited untuk memanfaatkan strategi dan teknologi inovatif untuk mencapai matlamat ini.
“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) kami, yang dilancarkan pada Julai 2023, menekankan peralihan yang adil dan saksama ke arah sumber tenaga boleh baharu. Pelan hala tuju ini menggariskan prinsip dan inisiatif untuk memastikan peralihan tenaga memberi manfaat kepada semua segmen masyarakat,” katanya.
NETR menyokong usaha bersepadu yang melibatkan agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam, selain strategi kerjasama ini penting untuk memastikan tiada komuniti yang tertinggal.
Sementara itu, Fadillah berkata Malaysia turut mengkaji inovasi dalam penyimpanan tenaga dan teknologi pengurusan grid seperti hidrogen sebagai pembawa tenaga bersih dan teknologi bateri termaju, untuk menyokong integrasi tenaga boleh baharu serta memastikan jaminan dan daya tahan tenaga.
“Bagi memudahkan pemindahan pengetahuan dan pembinaan kapasiti daripada amalan terbaik, Malaysia meneruskan pendekatan pelbagai aspek melalui kerjasama merentas sektor, kerjasama serantau dan inisiatif pembinaan kapasiti,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]