Berita

Fadillah Tiba Di Peru Untuk Hadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga APEC 2024



Daripada Nurul Hanis Izmir

LIMA (Peru), 14 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini tiba di sini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung selama dua hari. 

Ketibaan Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, di Lapangan Terbang Jorge Chàvez dengan penerbangan komersial telah disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Peru Mohamed Shahiran Mohamed Shah.

Ini adalah lawatan sulung Fadillah ke Peru.

Mesyuarat itu, yang dihoskan oleh Peru selaku Pengerusi APEC 2024, adalah pertemuan peringkat tertinggi pemimpin ekonomi APEC yang bertanggungjawab terhadap pembangunan tenaga. 

Timbalan Perdana Menteri itu akan mengetengahkan pendirian Malaysia dalam melaksanakan usaha peralihan tenaga negara, memastikan pembangunan tenaga yang inklusif dan saksama serta berkongsi aspirasi negara ke arah pembebasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

Usaha ini akan dilaksanakan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen (HETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Fadillah juga akan mengadakan pertemuan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan sejawat dari negara anggota APEC serta pemain industri antarabangsa untuk meluaskan jaringan kerjasama pelbagai bidang tenaga khususnya yang berpotensi menyokong komitmen dan inisiatif peralihan tenaga negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat APEC baru-baru ini memaklumkan bahawa para pegawai kanan, menteri dan pakar dari 21 negara anggota  APEC akan berhimpun di Peru dari 12 hingga 25 Ogos 2024 bagi membincangkan dasar keterjaminan makanan, kelestarian tenaga, penambahbaikan kesihatan awam, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan. 

Ia merangkumi Mesyuarat Menteri Tenaga ke-14 dari 15 hingga 16 Ogos; Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Kesihatan dan Ekonomi ke-14 pada 18 Ogos di Lima serta Mesyuarat Menteri Keterjaminan Makanan APEC pada 19 Ogos di Trujillo. 

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]