Berita

15 Sekolah Bakal Terima Manfaat Pemasangan Pv, Sasar Penjimatan Elektrik



IPOH, 12 Ogos (Bernama) -- Sebanyak RM3 juta diperuntukkan bagi pemasangan panel fotovoltaik (PV) untuk 15 sekolah bantuan kerajaan (SBK) dalam daerah Kinta di bawah Projek Rintis Tenaga Boleh Baharu yang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad serta GSPARX Sdn Bhd (GSPARX). 

Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How berkata buat masa ini 12 SBK telah menyatakan persetujuan awal bagi pemasangan PV melalui memorandum kerjasama (MoC) yang telah ditandatangani.

“Buat masa ini MoC ini terarah kepada kelulusan dari pihak sekolah membenarkan GSPARX untuk melihat sama ada pemasangan ini boleh dibuat atau sebaliknya daripada sudut teknikal.

“Sekiranya tiada masalah, pemasangan akan dibuat secepat mungkin dan segala perbelanjaan bagi perkara berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak GSPARX yang merupakan anak syarikat kepada TNB,” katanya pada sidang media di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sam Chai di sini, hari ini.

Terdahulu Howard Lee dalam majlis sama menyaksikan pemeteraian MoC antara Pengarah Urusan GSPARX Elmie Fairul Mashuri bersama 12 wakil SBK yang terdiri dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Ave Maria Convent, SMJKC Sam Tet, SMJKC Poi Lam dan SMJKC Yuk Choy.

Sekolah rendah yang terlibat pula adalah SJKC Ave Maria Convent, SJKC Sam Tet, SJKC Poi Lam, SJKC Yuk Choi, SJKC Sam Chai, SJKC Chung San dan Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist.

Howard Lee berkata antara tujuan utama pemasangan PV ini adalah untuk memberi penjimatan sehingga 20 peratus bil elektrik sedia ada yang ditanggung oleh pihak sekolah setiap tahun.

“Kita jangkakan penjimatan boleh mencecah sehingga RM200,000 setahun membabitkan ke semua SBK berkenaan dengan sasaran penjanaan tenaga secara berkelompok sebanyak 1 megawatt tenaga solar,” katanya.

Selain itu beliau berkata pemasangan panel PV ini juga secara tidak langsung mendukung komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekali gus memastikan kelestarian alam terus terjamin.

Mengulas perincian berhubung pemasangan PV, beliau berkata setiap sekolah perlu menandatangani perjanjian selama 20 tahun bersama GSPARX bagi menikmati manfaat daripada penyelarasan projek berkenaan.

Howard Lee berkata pihak sekolah juga dibenarkan untuk membeli panel berkenaan dari pihak GSPARX sekiranya mempunyai peruntukan khusus.

“Kalau pihak sekolah mempunyai dana khusus, mereka boleh membeli kemudahan itu dari pihak GSPARX walaupun masih dalam kontrak yang ditandatangani, cuma kos penyelenggaraan dan pemantauan kemudahan berkenaan perlu dibayar oleh pihak berkenaan kepada GSPARX,” katanya.

-- BERNAMA


 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]