Berita

Kerajaan Perkukuh Ekosistem Industri Kenderaan Elektrik Untuk Galak Penggunaan - Loke



REMBAU, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan memastikan keseluruhan ekosistem industri kenderaan elektrik (EV) dirancang dengan rapi bagi kemudahan pengguna serta untuk menggalakkan lebih banyak penggunaannya pada masa hadapan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pembelian EV di negara ini masih rendah berikutan pelbagai kekangan yang menyebabkan pengguna mempertimbangkan pilihan sama ada untuk membeli kereta tersebut atau kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

"Dari segi ekosistem perlu dilihat bagaimana pengurusan kenderaan EV selepas beberapa tahun kerana ia dikatakan boleh digunakan selama lapan hingga 10 tahun dan selepas itu perlu tukar bateri dan sebagainya.

"Kalau kenderaan ICE kita tahu ada industri kereta terpakai, boleh bertukar milik dan sebagainya tetapi EV ini belum lagi, sekarang masih di peringkat baharu jadi pasaran kereta terpakai belum ada lagi,” katanya.

Justeru, katanya, semua ini memerlukan tindakan dan perancangan lebih rapi bagi memastikan tidak ada sebarang masalah yang timbul apabila semakin ramai orang menggunakan kenderaan EV. 

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Program ESG Kumpulan Careplus sempena pelancaran kilang pemasangan EV dan Careplus Mall yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon, di sini, hari ini.

Loke berkata kerajaan dengan kerjasama pelbagai agensi sedang menyediakan stesen pengecas dengan garis panduan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurutnya, selain pemasangan, industri itu juga memerlukan tenaga mahir dalam bidang automotif EV yang mempunyai kepakaran membaiki khususnya melibatkan bateri dan mekanikal.

"Umpamanya untuk membuat servis kenderaan, ia memerlukan prosedur operasi standard (SOP) baharu dengan tenaga mahir yang tidak sama seperti kenderaan ICE," katanya.

Sementara itu, mengenai Program ESG Kumpulan Careplus, Loke berkata kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) berteknologi hijau pertama negara yang sedang dalam proses pembinaan di kawasan perindustrian Chembong itu akan menerapkan konsep ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat).

Kilang itu dijangka mengurangkan jejak karbon melalui penyelesaian mesra alam, seperti teknologi pelepasan air sisa sifar, pencemaran bunyi sifar, dan sisa pepejal diproses melalui pusat kitar semula yang terletak di kawasan kilang apabila mula beroperasi tahun hadapan.

Sebahagian besar tenaga yang digunakan di kilang itu dikuasakan oleh panel solar yang dipasang di bumbung kilang.

  -- BERNAMA

 

  TAG: Anthony Loke, kenderaan elektrik, ekosistem, kemudahan, kilang pemasangan, ESG


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]