Berita

Garis Panduan Pengurusan Sisa Solar Panel Dijangka Siap Menjelang 2025



KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Garis panduan lebih baik bagi menguruskan sisa solar panel negara dijangka siap menjelang tahun hadapan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata penghasilan garis panduan itu berpandukan peraturan sedia ada dan perkembangan teknologi terkini.

"Proses ini telah pun bermula dan kita berhasrat garis panduan ini akan siap insya-Allah menjelang tahun hadapan sebagai rujukan kepada pihak industri. 

"Berpandukan teknologi sedia ada kita akan lihat cara baharu untuk uruskan sisa ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Noorita Sual yang ingin tahu dasar terkini pelupusan dan kitar semula lambakan sisa panel solar serta langkah terkini diambil kementerian untuk mengatasi masalah berkenaan.

Beliau berkata sehingga kini Jabatan Alam Sekitar melesenkan 17 kemudahan untuk memperoleh kembali sisa solar panel dalam negara yang terdiri empat kemudahan di Selangor, Pulau Pinang (tujuh), masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Johor serta masing-masing satu di Perak dan Sarawak.

Nik Nazmi berkata kemudahan berkenaan antara lain berupaya melakukan pemerolehan kembali sisa panel solar bagi menghasilkan logam bernilai tinggi termasuk kadmium dan selenium.

Beliau berkata kementerian juga komited dalam mempromosi serta menggalakkan konsep ekonomi kitaran dilakukan melalui pelbagai inisiatif guna semula bagi menangani cabaran global seperti pencemaran alam, kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim. 

"Antara perkara kita nak bawa ialah prinsip apa dipanggil sebagai 'buy back' ataupun pusat pengumpulan dan perolehan kembali yang khusus dan berpusat untuk panel solar dan juga syarat ‘extended product responsibilty’ kerana kita tahu cabaran dalam menguruskan sisa panel solar ini.

“Maka, pihak pengeluar panel solar mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan sisa solar dengan baik. Ini juga prinsip baik yang sedang dilihat misalnya dalam pengurusan sisa plastik dan lain-lain perkara," katanya. 

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Plus Xnergy Sokong Dasar Percepat Penerimagunaan Solar Dalam Belanjawan 2025

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 harus merangkumi dasar yang lebih teguh dan fleksibel yang boleh membantu meningkatkan penerimagunaan tenaga solar dalam kalangan perniagaan dan pemilik rumah, demikian menurut Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd.


Pusat Data Google Malaysia Jadi Penanda Aras Kecekapan Penggunaan Tenaga, Air

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat data Google di Malaysia yang baharu akan menjadi penanda aras korporat bagi penggunaan tenaga dan air secara cekap, seiring dengan amalan terbaik ekonomi kitaran negara.


140 Kampung Di Sarawak Nikmati Bekalan Elektrik SARES Fasa 2

KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan 2,755 rumah kini menikmati bekalan elektrik yang stabil menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]