Berita

Kerajaan Jimat Rm10.5 Bilion Tenaga Kumulatif Dalam Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara - Petra



KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Penjimatan tenaga kumulatif dalam tempoh pelaksanaan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP) sehingga kini adalah sebanyak 39,382 Gigawatt jam (GWj) bersamaan dengan RM10.5 bilion, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Sehingga Disember 2023, kadar penjimatan tenaga tahunan yang telah dicapai adalah sebanyak 5.9 peratus atau 8,667 GWj yang bernilai lebih daripada RM2.1 bilion, kata PETRA.

Ia berkata pengguna tenaga termasuk operator pusat data yang menggunakan tenaga elektrik bersamaan atau melebihi tiga juta kilowatt jam dalam tempoh enam bulan berturut-turut adalah tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik Dengan Cekap 2008 (EMEER 2008).

“Sehingga kini, terdapat 22 buah pusat data yang dikawal selia di bawah EMEER, dengan 20 pusat data terletak di Selangor dan Kuala Lumpur serta masing-masing satu pusat data di Pulau Pinang dan Johor Bahru,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Isnin.

PETRA berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai tindakan bagi menggalakkan kecekapan tenaga dalam operasi pusat data dan margin rizab elektrik dan air.

Selain itu, kementerian itu berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia selaku agensi kawal selia berkaitan pusat data, sedang membangunkan satu kod teknikal berkenaan spesifikasi pusat data hijau.

Kod tersebut menyentuh keberkesanan penggunaan tenaga bagi meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga di pusat data dan pada masa yang sama mengurangkan pelepasan karbon daripada sub-sektor tersebut.

PETRA juga sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga bagi mengukuhkan kerangka perundangan berkaitan kecekapan tenaga.

“Apabila akta ini dikuatkuasakan ke atas sektor industri, komersial dan kediaman termasuk pusat data kelak, kerajaan menjangkakan penjimatan penggunaan tenaga negara sehingga 2050 akan mencapai 2,017 juta Gigajoule bersamaan RM97.1 bilion dengan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 197,877 kilotan,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan unjuran rizab margin bekalan elektrik sentiasa berada sekurang-kurang pada paras minimum iaitu 25 peratus akibat kemasukan pusat data ke dalam negara, Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tariff (JPPPET) pada 24 Mei 2024 telah meluluskan Pelan Pembangunan Bekalan Elektrik Semenanjung 2024-2050 bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik dapat dipenuhi.

Sebagai pelan mitigasi segera, Mesyuarat JPPPET juga mengenal pasti beberapa buah loji janakuasa akan dilanjutkan tempoh operasinya bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik akibat kemasukan pusat data tersebut.

“Bagi jangka masa panjang, tambahan kapasiti penjanaan baharu sebanyak 700MW pada 2030 dan sebanyak 2.8GW di antara 2031-2034 telah dirancang dalam Pelan Pembangunan Bekalan Elektrik Semenanjung 2024-2050,” katanya.

Bagi margin rizab air pula, PETRA berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara mengesyorkan rizab margin yang selesa adalah antara 10 peratus hingga 15 peratus.

Pada 2023, purata rizab margin air terawat bagi Semenanjung Malaysia dan Labuan adalah 14.7 peratus.

“Berdasarkan kepada rekod ini, rizab margin bagi bekalan air terawat adalah kekal stabil bagi menyokong pertambahan pelaburan pusat data ke dalam negara,” katanya.

-- BERNAMA

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]