KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- IJM Land Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Progressture Power Sdn Bhd untuk bersama-sama meneroka perniagaan bagi pembinaan kemudahan tenaga solar berkapasiti 40 megawatt puncak (MWp) untuk projek pembangunan masa depan IJM Land.
Skop kerjasama itu katanya membabitkan kerja prapemasangan sistem fotovolta solar (PV) atas bumbung dengan kapasiti 25 MWp untuk kawasan perumahan, serta pilihan yang membolehkan pemilik rumah mendapat manfaat pemasangan ini.
"Kerjasama ini juga meliputi pembangunan sebuah ladang solar terapung 15 MWp meliputi kawasan seluas 37.5 ekar di IJM Rimbayu.
"Secara terkumpul, pembinaan kemudahan menjana tenaga solar ini dijangka mampu mengurangkan penghasilan 40,997 tan karbon dioksida setiap tahun dan lebih 1 juta tan dalam tempoh 25 tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut IJM sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kedua-dua syarikat akan menggunakan pendekatan Energy-as-a-Service (EaaS) atau tenaga sebagai perkhidmatan yang akan menyediakan khidmat pengurusan dan perkhidmatan aset tenaga daripada mula hingga akhir bagi pemilik rumah di bandar-bandar yang dimajukan IJM Land.
"Diguna pakai secara berdaya maju dalam pelbagai sektor, EaaS dijangka mempunyai pasaran mencecah RM693.21 bilion menjelang 2029," kata IJM.
Ia berkata kerjasama ini dijangka beroperasi sejajar dengan pelaksanaan Akses Pihak Ketiga (TPA) bagi industri bekalan elektrik negara, yang akan membolehkan pihak-pihak lain seperti syarikat penjana kuasa bebas (IIP) untuk membekalkan tenaga menggunakan talian transmisi Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Ketua Pegawai Eksekutif IJM Land Datuk Wong Tuck Wai berkata kerjasama antara syarikat hartanah dan tenaga boleh baharu (TBB) ini membolehkan syarikat memanfaatkan sektor pertumbuhan baharu dalam industri hartanah.
"Berbekalkan komitmen berterusan IJM Land untuk memudahkan pemilikan rumah bagi para pelanggan, kami memanfaatkan kekuatan rentas industri untuk melaksanakan infrastruktur dan penyelesaian TBB," katanya.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Progressture Solar Cliff Siaw Sze Hau berkata syarikat itu ingin menggiatkan usaha seluruh industri ini dengan mengguna pakai teknologi yang menyokong sistem solar PV serba maju dan mengoptimumkan penjanaan tenaga.
"Sebagai penyedia perkhidmatan dan penyelesaian solar PV serba lengkap, kami berusaha memainkan peranan lebih dinamik untuk menerapkan amalan terbaik TBB dalam sektor hartanah," katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]