Berita

Pengekalan Tarif Elektrik Legakan Pengguna



KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk mengekalkan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung hingga 31 Dis ini amat melegakan dalam meringankan beban akibat inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

Suri rumah M. Shanti, 62, berkata walaupun langkah berkenaan mungkin merugikan sesetengah pihak, ia memberikan hasil ketara kerana sebarang kenaikan kos utiliti akan menambah beban kepada kos hidup bulanan rakyat.

“Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan memahami cabaran dihadapi rakyat negara ini, berusaha untuk memastikan kestabilan dan kemampuan, langkah meyakinkan yang membolehkan kita untuk menumpukan terhadap keperluan penting tanpa rasa bimbang berkaitan perbelanjaan yang semakin meningkat,” katanya. 

Selain itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut memaklumkan kerajaan turut bersetuju menurunkan surcaj sebanyak 1 sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tempoh sama.

Menurut kementerian itu pengguna komersial dan industri pula akan mengalami penurunan kadar surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh Julai hingga Disember 2024.

Pencipta kandungan media sosial, Vicky Chandran, 25, yang kebanyakannya bekerja dari rumah berkata pengumuman berkenaan membuktikan kerajaan sememangnya mengambil kira tentang kehidupan rakyat di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup. 

Menurut Vicky pengumuman itu sudah tentu sesuatu yang baik untuknya memandangkan kerjanya menuntut banyak masa menggunakan komputer riba dan telefon yang sekali gus memerlukan banyak penggunaan tenaga elektrik di rumah.

Pengumuman itu turut disambut baik pengguna di luar ibu negara termasuk seorang penjawat awam, Mohamad Tarmizi Abdul Rahman, 37, di TERENGGANU yang lega meskipun tiada pengurangan kadar tarif bagi utiliti itu, dia bersyukur tiada penambahan kos terhadap komitmen bulanannya terutama ketika musim panas ini.

Di PERLIS, menghadapi situasi seakan sama, seorang petugas di universiti awam Aininulniza Mohd Yusof, 37, menyifatkan keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan tarif elektrik hingga hujung tahun ini sebagai tindakan yang memahami masalah dihadapi rakyat terutama dalam cabaran ekonomi kini.

Di KELANTAN, seorang suri rumah, Mona Ahmad, 52, berkata pengekalan tarif sedia ada membolehkannya untuk membuat perbelanjaan barangan dapur serta bil utiliti yang lain seperti biasa.

"Saya juga berharap langkah kerajaan tidak menaikkan tarif elektrik ini dapat dilanjutkan bagi satu tempoh masa yang lebih panjang bagi membolehkan kami membuat persiapan untuk sesi sekolah tahun hadapan,” katanya.

Begitu juga bagi pengguna di NEGERI SEMBILAN, KEDAH dan JOHOR iaitu Assan Kidam, 74; Khairuddin Mohd Aziz, 53, dan Mohammed Khairul Mohd Ali, 39, yang menyifatkan pengumuman ini satu langkah yang tepat kerana ia tidak akan mengganggu pengurusan kewangan ketua isi rumah (KIR).

Bagi peniaga kecil-kecilan seperti pengusaha biskut Muhammad Hafiq Norzan, 32, dan tukang jahit Maisarah Halim, 46, yang masing-masing mengusahakan perniagaan di PAHANG dan MELAKA, pengekalan tarif elekrik ini boleh membantu mengimbangi kos perniagaan dan harga jualan kepada pembeli.

Dalam pada itu, di PULAU PINANG, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyambut baik cadangan kerajaan untuk menurunkan surcaj 1 sen/kwj bagi kategori lampu jalan tarif G dan G1.

Datuk Bandar Seberang Perai Baderul Amin Abdul Hamid berkata penurunan kadar itu membolehkan pihak PBT menjimatkan bayaran sebanyak lima peratus kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan jumlah pengurangan kira-kira RM740,000 setahun.

Ahli Gerakan Pengguna Negeri PERAK Khairul Anwar El Syazalli Musa berkata meskipun ia disambut baik semua pihak, pelaksanaan subsidi bersasar pada masa akan datang adalah lebih penting.

“Sebagai badan yang dekat dengan rakyat, kerajaan boleh mengadakan sesi town hall bersama semua persatuan pengguna untuk mengetahui maklumat dan data yang lebih mendalam kerana persatuan pengguna berbeza dengan persatuan industri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]