Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) – Dalam era yang mana krisis iklim dan keperluan alam sekitar diberi perhatian utama, industri di seluruh dunia menerima tekanan untuk menyesuaikan diri dan berinovasi ke arah amalan yang mampan.
Antara industri ini adalah semikonduktor, tunjang kepada kemajuan teknologi moden global, yang mendapati dirinya berada di persimpangan penting antara pertumbuhan dan juga tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Di tengah-tengah pertumbuhan pesat dan kemajuan teknologi, tumpuan terhadap kemampanan yang semakin meningkat telah mendorong pemimpin industri untuk menilai semula keutamaan dan strategi mereka.
Dalam usaha untuk memperjuangkan kemampanan dalam sektor semikonduktor, Schneider Electric, peneraju global dalam pengurusan tenaga dan automasi industri, telah memulakan inisiatif proaktif untuk merevolusikan pendekatan industri ke arah penjagaan alam sekitar.
Dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini, naib presiden semikonduktor Schneider Electric, Henri Berthe menekankan peranan penting syarikat dalam usaha menyokong syarikat semikonduktor di seluruh dunia untuk membina dan mengendalikan kemudahan mereka sambil menekankan kepentingan kemampanan.
"Sebagai peneraju dalam pengurusan tenaga, kami memainkan peranan penting dalam mengoptimumkan seni bina elektrik merentasi pelbagai domain, termasuk semikonduktor.
“Selain itu, kepakaran kami dalam automasi industri membolehkan kami menyelaraskan proses dan meningkatkan kecekapan,” katanya.
Beberapa tahun kebelakangan ini, Schneider Electric telah mengembangkan fokusnya untuk memasukkan pembangunan perisian dan kemampanan dalam peralihan industri ke arah pendigitalan dan kesedaran alam sekitar.
"Dengan pengambilalihan seperti Aveva, sebuah syarikat perisian industri terkemuka, kami memacu inovasi dalam penyelesaian perisian yang sesuai untuk Industri 4.0.
"Begitu juga, komitmen kami terhadap kemampanan meletakkan kami sebagai peneraju global dalam membantu syarikat mencapai matlamat pelepasan sifar bersih mereka," kata Berthe.
TINDAKAN SEGERA KEMAMPANAN
Berthe yang menekankan kepentingan kemampanan dalam industri semikonduktor berkata terdapat keperluan mendesak untuk usaha penyahkarbonan di tengah-tengah peningkatan kebimbangan terhadap perubahan iklim.
"Industri semikonduktor melepaskan kira-kira 100 juta tan karbon dioksida pada 2021, menjadikannya satu cabaran penting untuk menyelaraskan pertumbuhan dengan tanggungjawab alam sekitar.
"Dengan industri bersedia untuk melipatgandakan nilai kepada US$1 trilion dalam tempoh sedekad, cabaran untuk menyelaraskan pertumbuhan dengan kemampanan menjadi semakin mendesak," katanya.
Walaupun terdapat komitmen yang tinggi daripada pemain industri, termasuk syarikat terkemuka seperti Intel, cabaran menjadi semakin besar, katanya.
“Pertumbuhan industri yang pesat, ditambah pula dengan kemajuan teknologi yang menuntut penggunaan tinggi tenaga, memberikan halangan yang besar kepada usaha kemampanan,” katanya.
Beliau berkata pertumbuhan mampan perlu seimbang dengan mempercepatkan laluan ke arah sifar bersih.
“Walaupun industri komited terhadap kemampanan, cabaran seperti kekurangan tenaga kerja mahir dan kemajuan pesat teknologi terus kekal menjadi halangan utama.
"Sebagai menyahut cabaran ini, Schneider Electric merintis penyelesaian inovatif, dengan penekanan khusus pada pendigitalan dan kecekapan tenaga," katanya.
Berthe menggariskan strategi syarikat, yang termasuk membantu syarikat menyusun strategi, menetapkan sasaran pelepasan, dan mempercepatkan haluan mereka kepada sifar bersih menerusi pendigitalan serta penerimagunaan tenaga boleh baharu.
"Kecekapan tenaga amat penting, terutamanya di Asia Timur apabila akses kepada tenaga boleh baharu kekal menjadi perkara yang diutamakan," katanya.
Pendigitalan kini muncul sebagai pendekatan yang digunakan dalam mengurangkan kesan alam sekitar. Dengan analisis data dan penyelesaian dipacu kecerdasan buatan (AI), pendigitalan menawarkan jalan untuk peningkatan kecekapan tenaga.
Ia juga boleh mengoptimumkan penggunaan tenaga dan menyelaraskan operasi rantaian bekalan, mengurangkan kesan alam sekitar, katanya.
USAHA KERJASAMA
Bagi menangani kekurangan tenaga kerja dalam industri, Berthe memfokuskan kepada usaha kerjasama untuk memupuk kepakaran pembangunan perisian, memastikan kemasukan profesional mahir yang berterusan bagi memacu inisiatif kemampanan ke hadapan.
Mengenai kebimbangan terhadap kekurangan semikonduktor, beliau yakin industri tersebut berupaya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat sambil mengekalkan trajektori yang mampan.
Dengan Malaysia muncul sebagai hab semikonduktor utama, Berthe memuji langkah negara ke arah kemampanan dan menggesa komitmen teguh daripada pihak berkepentingan untuk merealisasikan potensi penuhnya.
“Melihat kepada Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang berpendirian menyokong strategi semikonduktor nasional, negara dilihat bersedia untuk menyumbang secara signifikan kepada usaha kemampanan global.
"Ini tepat pada masanya dan penting untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan masa depan," katanya.
Beliau berkata ketika dunia berusaha sedaya mungkin untuk menangani perubahan iklim, perjalanan industri semikonduktor ke arah kemampanan menjadi tumpuan utama, kata Berthe.
“Kerjasama, inovasi dan komitmen adalah ciri utama usaha ini, dengan Schneider Electric dan peneraju industri lain mengetuai usaha ke arah mencapai amalan hijau yang lebih baik lagi pada masa depan.
"Syarikat perlu merebut penyelesaian dan teknologi yang ada untuk membuka jalan ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan," katanya.
Beliau dalam pada itu melahirkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia untuk memanfaatkan kecekapan dan sokongan kerajaan bagi memacu pertumbuhan selanjutnya dalam sektor tersebut.
Teknologi yang bersilang dengan kemampanan dalam industri semikonduktor bukan sekadar satu cabaran tetapi satu kemestian global, katanya.
“Hanya melalui usaha bersepadu dan tindakan kolektif membolehkan industri menuju ke arah yang lebih mampan, memastikan hari esok yang lebih cerah dan hijau untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau menekankan komitmen tidak berbelah bahagi Schneider Electric terhadap kemampanan menandakan era baharu inovasi dan pertumbuhan yang mementingkan alam sekitar.
Kesimpulannya, Berthe menekankan keperluan kerjasama ekosistem dan perkongsian strategik bagi memacu kemampanan dalam industri semikonduktor.
Beliau juga menggesa syarikat-syarikat untuk memanfaatkan penyelesaian dan teknologi yang ada untuk membuka jalan ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan.
-- BERNAMA
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 harus merangkumi dasar yang lebih teguh dan fleksibel yang boleh membantu meningkatkan penerimagunaan tenaga solar dalam kalangan perniagaan dan pemilik rumah, demikian menurut Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd.
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat data Google di Malaysia yang baharu akan menjadi penanda aras korporat bagi penggunaan tenaga dan air secara cekap, seiring dengan amalan terbaik ekonomi kitaran negara.
KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan 2,755 rumah kini menikmati bekalan elektrik yang stabil menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]