Berita

Kerajaan Sasar Pembangunan Ekosistem Berasaskan Tenaga Hidrogen Menjelang 2030



KAMPAR, 4 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang merangka pembangunan ekosistem dan nilai rantaian kenderaan berasaskan tenaga hidrogen yang menjadi satu daripada agenda dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) menjelang 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pembangunan itu akan memfokuskan kepada proses pembuatan dan penghasilan tenaga berkenaan dalam skala besar sekali gus berupaya menampung permintaan umum.

“Projek ini dibangunkan secara berfasa. Walaupun bermula pada 2030 namun kita telah melepasi fasa pertama baru-baru ini yang melibatkan sesi ‘showcase’ atau pengenalan terhadap teknologi hidrogen (kenderaan) kepada  umum. Kita nak rakyat faham dan mengetahui tenaga ini boleh digunakan.

“Untuk fasa kedua pula, kita akan bina ekosistem hidrogen itu secara menyeluruh yang turut membabitkan pembangunan bersepadu merangkumi aspek bekalan, pembuatan dan permintaan hidrogen itu sendiri termasuk kepada kenderaan hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program 24th Asian Physics  Olympiad (APhO) di Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini yang turut disertai  Presiden APhO Prof Kwek Leong Chuan serta Presiden UTAR Prof Datuk Dr. Ewe Hong Tat.

Chang berkata usaha yang ingin direalisasikan itu juga satu kaedah dalam membantu negara mencapai sasaran sifar karbon menjelang tahun 2050.

Beliau juga mengakui penggunaan teknologi hidrogen semakin meluas dan sedikit sebanyak akan memberi persaingan terhadap tenaga atau bahan api sedia ada seperti petroleum dan diesel.

“Ini satu trend dunia, semua negara lain sedang berusaha untuk mengurangkan pelepasan karbon termasuk negara pengeluar petroleum seperti Malaysia.

“Kita tak mampu nak elak, cuma buat masa ini walaupun ia dilihat mampu membantu dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar namun kos penggunaannya agak tinggi,” katanya.

Pada 5 Okt tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik bagi melaksanakan HETR yang membolehkan negara meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya US$189.19 bilion menjelang 2050.

Pelaksanaan HETR dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan anggaran sumbangan antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Plus Xnergy Sokong Dasar Percepat Penerimagunaan Solar Dalam Belanjawan 2025

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 harus merangkumi dasar yang lebih teguh dan fleksibel yang boleh membantu meningkatkan penerimagunaan tenaga solar dalam kalangan perniagaan dan pemilik rumah, demikian menurut Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd.


Pusat Data Google Malaysia Jadi Penanda Aras Kecekapan Penggunaan Tenaga, Air

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat data Google di Malaysia yang baharu akan menjadi penanda aras korporat bagi penggunaan tenaga dan air secara cekap, seiring dengan amalan terbaik ekonomi kitaran negara.


140 Kampung Di Sarawak Nikmati Bekalan Elektrik SARES Fasa 2

KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan 2,755 rumah kini menikmati bekalan elektrik yang stabil menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]