Berita

Masdar Uae Berminat Melabur Dalam Industri Tenaga Hijau Sarawak - Abang Johari



KUCHING, 1 Jun (Bernama) -- Syarikat tenaga bersih di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (Masdar) berminat untuk melabur dalam industri tenaga hijau khususnya solar di Sarawak.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti Murum, yang terletak di wilayah tengah Sarawak sebagai kawasan projek bagi inisiatif tenaga hijau itu yang melibatkan anggaran tenaga 1,000 megawatt. 

“Ini adalah satu pelaburan yang besar. Ini bermakna kita ada nilai tambah dari sudut pengeluaran tenaga hijau,” katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini. 

Menurutnya projek jangka panjang itu akan menggunakan pendekatan dua teknologi iaitu tenaga solar dan pertanian moden seperti yang diamalkan di Sharjah, UAE.

Abang Johari berkata model berkenaan sekali gus akan memberi impak positif bukan sahaja kepada sektor tenaga hijau, malah keterjaminan makanan. 

“Ini berikutan solar pada masa ini bukan sahaja terapung, malah boleh dibuat solar ternaik, maknanya atas tanah, dan di bawah solar itu boleh dibangunkan industri makanan.

“Ini adalah dua gabungan dan saya nampak Masdar sangat berminat. Inilah sebab ia sudah melaksanakan satu pendekatan ini di Sharjah, dengan mereka membangunkan solar, dan di bawahnya tanaman. Oleh itu, tenaga digunakan untuk pengeluaran makanan,” katanya. 

Sementara itu, beliau turut mengumumkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) Sarawak dan Sarawak Energy Bhd (SEB) akan membuka pejabat di Abu Dhabi untuk meningkatkan kerjasama antara UAE dan Sarawak dalam industri tenaga dan gas.

“Ini juga akan menjadi libat urus dengan Mubadala Investment Company, kerana selain Masdar kita turut mempunyai syarikat Mubadala yang akan bekerjasama dengan Petros dan Petronas dalam membangunkan industri minyak dan gas,” katanya. 

Dalam perutusan Gawai Dayak semalam, Abang Johari berkata Sarawak berhasrat untuk memperluas peluang kerjasama dengan negara Arab dalam industri tenaga hijau.

Kira-kira 7,000 tetamu menghadiri Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak anjuran pemimpin Dayak Sarawak yang turut  dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Plus Xnergy Sokong Dasar Percepat Penerimagunaan Solar Dalam Belanjawan 2025

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 harus merangkumi dasar yang lebih teguh dan fleksibel yang boleh membantu meningkatkan penerimagunaan tenaga solar dalam kalangan perniagaan dan pemilik rumah, demikian menurut Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd.


Pusat Data Google Malaysia Jadi Penanda Aras Kecekapan Penggunaan Tenaga, Air

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat data Google di Malaysia yang baharu akan menjadi penanda aras korporat bagi penggunaan tenaga dan air secara cekap, seiring dengan amalan terbaik ekonomi kitaran negara.


140 Kampung Di Sarawak Nikmati Bekalan Elektrik SARES Fasa 2

KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan 2,755 rumah kini menikmati bekalan elektrik yang stabil menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]