Berita

Sarawak Berhasrat Perluas Kerjasama Industri Tenaga Hijau Dengan Negara Arab

Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 31 Mei (Bernama) -- Sarawak bakal mengadakan pertemuan dengan syarikat antarabangsa dari negara Arab untuk memperluas peluang kerjasama dalam industri tenaga hijau di Bumi Kenyalang, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata kunjungan duta-duta besar anggota Kesatuan Eropah ke Sarawak sebelum ini bagi menzahirkan kesediaan berkolaborasi dalam industri itu membuktikan pelabur luar yakin dengan komitmen dan hala tuju negeri berkenaan ke arah membina ekonomi berteraskan penggunaan serta pengeluaran sumber tenaga hijau selari dengan langkah menangani perubahan iklim dunia.

“Saya amat yakin jika semua projek ini dan projek lain sudah menjadi kenyataan menjelang 2030, rakyat Sarawak akan berpeluang untuk menikmati pekerjaan yang memberikan gaji yang tinggi sekali gus melengkapkan status Sarawak sebagai sebuah kawasan maju dan berpendapatan tinggi.

“Dalam pada itu, sekarang sudah ada beberapa program dan projek pembangunan yang dicadangkan hingga tahun 2050 yang akan terus memastikan kemajuan Sarawak berkekalan selepas 2030,” katanya dalam perutusan sempena perayaan Gawai Dayak 2024 yang disambut esok. 

Abang Johari berkata lawatan kerja beliau ke Seoul, Korea Selatan baru-baru ini membuahkan hasil apabila sebuah syarikat Korea mengemukakan cadangan untuk membina sebuah fasiliti bersepadu yang berasaskan tenaga hijau menerusi projek Hab Tenaga Baharu Sarawak (SNEH) di Bintulu dengan kos dijangka mencecah US$460 bilion (RM2.158 trilion). 

Beliau berkata ia adalah antara tiga syarikat Korea yang bakal bekerjasama bagi projek H2biscus di Bintulu dalam mengeluarkan gas hidrogen dan ammonia sebagai bahan api bersih.

Sempena musim perayaan ini, Premier Sarawak itu menyeru rakyat khususnya kaum Dayak agar memupuk nilai perpaduan ke arah melakar masa depan mereka bersama-sama masyarakat lain di Sarawak. 

“Saya menyeru agar masyarakat Dayak merobohkan segala tembok dari segi kekangan pemikiran untuk menjadi kaum yang progresif dan dinamik di era yang penuh dengan cabaran tetapi sarat dengan peluang ke arah kemajuan.

“Sarawak berada pada landasan yang betul untuk menuju matlamat menjadi kawasan yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pula berkata GPS sentiasa komited untuk membawa pembangunan kawasan luar bandar dalam dasarnya bagi merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar.

Beliau berkata penubuhan sembilan badan seperti Agensi Pembangunan Sri Aman, Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan, Agensi Pembangunan Penyelarasan Greater Kuching adalah sebahagian daripada bukti konkrit fokus dan hasrat kerajaan GPS terhadap pembangunan luar bandar. 

“Ini bagi memastikan kawasan luar bandar mencapai status pembangunan menjelang tahun 2030.

"Ia juga amat sesuai dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menyasarkan Sarawak mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar menjelang 2030," katanya.

Uggah juga berkata justeru itu, penduduk Sarawak harus meraikan perpaduan, keharmonian dan kerjasama sedia ada sepanjang musim perayaan ini selaras dengan slogan 'Segulai Sejalai' yang membawa maksud 'Seiring Sejalan.'

-- BERNAMA

 

 


 




    Berita Lain-lain

Plus Xnergy Sokong Dasar Percepat Penerimagunaan Solar Dalam Belanjawan 2025

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 harus merangkumi dasar yang lebih teguh dan fleksibel yang boleh membantu meningkatkan penerimagunaan tenaga solar dalam kalangan perniagaan dan pemilik rumah, demikian menurut Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd.


Pusat Data Google Malaysia Jadi Penanda Aras Kecekapan Penggunaan Tenaga, Air

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat data Google di Malaysia yang baharu akan menjadi penanda aras korporat bagi penggunaan tenaga dan air secara cekap, seiring dengan amalan terbaik ekonomi kitaran negara.


140 Kampung Di Sarawak Nikmati Bekalan Elektrik SARES Fasa 2

KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan 2,755 rumah kini menikmati bekalan elektrik yang stabil menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]