Berita

Kerajaan Sasar 40 Peratus Tenaga Diperbaharui Dalam Campuran Bahan Api Negara Menjelang 2035



PONTIAN, 26 Mei (Bernama) --  Kerajaan menyasarkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2035, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata langkah itu dijangka dapat mengurangkan penghasilan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 10 juta tan setahun.

Beliau berkata  Kementerian Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air juga berhasrat meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui dalam campuran bahan api sehingga 100 peratus pada 2050.

"Usaha ini penting bagi memastikan kelestarian alam terus terpelihara untuk generasi masa depan. Inisiatif ini menyokong saranan kerajaan untuk menggunakan biojisim dan biogas dalam penghasilan tenaga sebanyak 1.4 gigawatt pada tahun 2050.

"Sektor tenaga negara mewakili 29 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar serta menggajikan suku daripada tenaga kerja dalam negara. Oleh itu, perubahan dalam sistem tenaga bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan serta pembangunan ekonomi tetapi juga kepada kehidupan rakyat yang bergantung kepada tenaga mampu milik dan berdaya harap," katanya.

Fadillah berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Projek Kombinasi Pembakaran Biojisim Malakoff Corporation Berhad di Loji Janakuasa Tanjung Bin di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Malakoff Corporation Berhad Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib.

Beliau berkata kementerian itu menyokong usaha pihak industri untuk meneroka penggunaan teknologi baharu seperti penghasilan hidrogen hijau, nuklear dan bateri penyimpanan tenaga berskala besar.

"Penggunaan teknologi baharu ini akan dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil sekali gus mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus pada 2030 seperti dimeterai dalam Perjanjian Paris 2016.

"Semua usaha yang dibuat ini selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang ditelah dilancarkan pada tahun lepas," katanya.

Fadillah juga berkata kerajaan dijangka melaksanakan Akses Pihak Ketiga dalam industri bekalan elektrik negara mulai September ini dan perancangan mengenainya sedang berjalan.

Beliau berkata Akses Pihak Ketiga bermakna ada pihak lain yang membekalkan tenaga elektrik jika mereka memiliki pelanggan tanpa perlu melalui atau membeli daripada Tenaga Nasional Bhd.

Pada April lepas, jaminan bekalan gas dalam konteks peralihan tenaga dan keterjaminan bekalan elektrik di Semenanjung adalah antara perkara dibincang pada Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 1 Tahun 2024 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata ahli MTN ditegaskan mengenai kepentingan kerajaan memberi fokus kepada agenda peralihan tenaga yang telah direncana melalui NETR.

Dalam pada itu, Fadillah berkata pelaksanaan Akses Pihak Ketiga sebenarnya digariskan oleh NETR untuk dilaksanakan tahun depan.

"Bagaimanapun, menerusi perancangan dalaman Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kita mahu awalkan pelaksanaan inisiatif itu.

"Ia berikutan minat tinggi ditunjukkan pelbagai pihak susulan pelabur luar yang banyak membina Pusat Data di negara ini dan ia memerlukan sumber tenaga yang tinggi," katanya.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Plus Xnergy Sokong Dasar Percepat Penerimagunaan Solar Dalam Belanjawan 2025

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 harus merangkumi dasar yang lebih teguh dan fleksibel yang boleh membantu meningkatkan penerimagunaan tenaga solar dalam kalangan perniagaan dan pemilik rumah, demikian menurut Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd.


Pusat Data Google Malaysia Jadi Penanda Aras Kecekapan Penggunaan Tenaga, Air

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat data Google di Malaysia yang baharu akan menjadi penanda aras korporat bagi penggunaan tenaga dan air secara cekap, seiring dengan amalan terbaik ekonomi kitaran negara.


140 Kampung Di Sarawak Nikmati Bekalan Elektrik SARES Fasa 2

KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan 2,755 rumah kini menikmati bekalan elektrik yang stabil menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]