PONTIAN, 26 Mei (Bernama) -- Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menyasarkan penggunaan sebanyak 15 peratus biojisim dalam proses pembakaran di Loji Janakuasa Tanjung Bin, di sini menjelang tahun 2027.
Pengerusinya Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata sasaran itu, ditetapkan selepas kejayaan menjalankan percubaan dengan kombinasi pembakaran menggunakan biojisim sehingga 0.5 peratus, pada Disember 2022 dan jumlah tersebut meningkat kepada dua peratus pada suku pertama tahun ini.
“Usaha ini bertujuan mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG), meningkatkan kestabilan grid dan sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Peralihan Tenaga yang Adil (JET), yang menyasarkan peralihan tenaga lebih saksama dan mesra alam.
“Sebagai pemain industri berpengalaman, kami yakin dengan keupayaan dan tenaga kerja yang berpengalaman untuk melaksanakan inisiatif tersebut. Namun dalam masa sama, kami sentiasa mencari cara baharu untuk meningkatkan kemahiran bagi memenuhi permintaan industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Kombinasi Pembakaran Biojisim Malakoff Corporation Berhad di Loji Janakuasa Tanjung Bin, di sini hari ini.
Majlis perasmian dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, selain turut dihadiri Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Ahmad Tajuddin berkata pihaknya telah mencapai beberapa kejayaan membanggakan, termasuk menghasilkan 168 megawatt kapasiti tenaga boleh diperbaharui yang terdiri daripada tenaga solar berskala besar, solar di bumbung dan tenaga hidro skala kecil.
“Malakoff komited untuk melakukan transformasi sesuai dengan kehendak pengguna serta perniagaan yang semakin berkembang. Ini dedikasi kami dalam meminimumkan jejak alam sekitar dan membangunkan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, selain turut mempromosi penjagaan alam bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Anwar Syahrin berkata inisiatif tersebut merupakan satu langkah penting bagi syarikat, dalam meningkatkan lagi keselamatan tenaga negara sambil mengurangkan pengeluaran karbon.
Beliau berkata penting bagi syarikat itu untuk mengekalkan sumbangan mereka terhadap pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin keselamatan tenaga.
“Ini terutamanya apabila kami menyumbang kira-kira 21 peratus pengeluaran tenaga di Semenanjung, ia satu keputusan yang betul, yang telah dibuat oleh kami bagi mengekalkan agar kami masih lagi relevan di dalam industri tenaga ini.
“Kami komited dalam peralihan kepada tenaga diperbaharui dan meneutralkan jejak karbon kami, serta meningkatkan keutamaan terhadap prinsip ESG dan mampan,” katanya.
Anwar Syahrin berkata dalam perniagaan termal, pihaknya memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti kombinasi pembakaran biojisim.
“Kami akan terus mencari bahan bakar biojisim yang alternatif, dalam meningkatkan kadar pembakaran bersama dengan menyasarkan kesiapsiagaan pembakaran bersama sebanyak 15% minimum menjelang 2027.
“Jaminan terhadap kesediaan operasi loji masih menjadi keutamaan kami, yang akan dapat dicapai menerusi perancangan penyelengaraan serta ketelitian wajar. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keseimbangan fasiliti Malakoff, malah turut meningkatkan kepakaran teknikal kami,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 harus merangkumi dasar yang lebih teguh dan fleksibel yang boleh membantu meningkatkan penerimagunaan tenaga solar dalam kalangan perniagaan dan pemilik rumah, demikian menurut Plus Xnergy Holdings Sdn Bhd.
KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Pusat data Google di Malaysia yang baharu akan menjadi penanda aras korporat bagi penggunaan tenaga dan air secara cekap, seiring dengan amalan terbaik ekonomi kitaran negara.
KUCHING, 30 Sept (Bernama) -- Sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah di Sarawak yang melibatkan 2,755 rumah kini menikmati bekalan elektrik yang stabil menerusi projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) Fasa 2.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]