Berita

Malaysia Teroka Tenaga Solar Di Kawasan Tadahan Air



BALI, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia kini sedang meneroka cara untuk mengoptimumkan kawasan tadahan air bagi menjana tenaga solar tanpa menjejaskan alam sekitar dan kualiti air, susulan amalan yang dilaksanakan negara lain, termasuk Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata panel solar terapung Cirata terletak di empangan di Jawa Barat, boleh dijadikan contoh.

"Malaysia menegaskan bahawa ia akan memastikan persaingan dan ketidaksamaan terhadap sumber air dan tenaga akan seimbang tanpa menjejaskan daya tahan keseluruhan masyarakat," katanya dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi di Forum Air Dunia (WWF) ke-10, di sini hari ini.

Fadillah menekankan matlamat menyeluruh Malaysia untuk memastikan keselamatan air untuk semua, dapat direalisasikan melalui penggunaan pengurusan sumber air bersepadu. 

Matlamat utama termasuk mencapai liputan air bersih sebanyak 98 peratus di kawasan luar bandar dan mengurangkan kadar air bukan hasil kepada 31 peratus menjelang 2025.

"Di bawah Matlamat Pembangunan Lestari 6, akses yang saksama untuk air selamat dan sanitasi ditekankan untuk penduduk luar bandar dan terpinggir, yang harus diberi keutamaan, sementara air bersih dan sanitasi memainkan peranan penting dalam kesihatan awam," jelasnya.

Tahun lepas, kira-kira 97.1 peratus penduduk di Malaysia mempunyai akses kepada air minum yang selamat dan 85.4 peratus penduduk terutamanya di bandar-bandar utama menerima perkhidmatan pembetungan berpusat.

Fadillah menegaskan Malaysia juga sedang membangunkan rangka kerja untuk daya tahan terhadap air antara fokus utama dalam Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia yang penting memandangkan negara terdedah kepada cabaran berkaitan air seperti banjir, kemarau dan pencemaran air.

Memandangkan Malaysia menekankan hubungan yang saling berkaitan antara air dan keamanan, menekankan kewujudan bersama kepentingannya, beliau juga berkata bahawa forum itu perlu menyokong akses dan pengurusan sumber air yang saksama, terutamanya komuniti luar bandar, mempromosikan amalan lestari yang membuka jalan untuk masa depan yang aman dan makmur.

"Malaysia berhasrat untuk memperkasakan individu bagi memudahkan pelaksanaannya melalui kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, organisasi bukan kerajaan, ahli akademik dan pelbagai komuniti, meningkatkan tadbir urus di semua peringkat sambil kita mengukuhkan kemampuan kewangan dan infrastruktur menggunakan teknologi kos efektif," katanya.

Fadillah menyertai pemimpin dunia dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi WWF yang dipengerusikan Presiden Indonesia Joko Widodo.

WWF, yang diadakan setiap tiga tahun, dianjurkan bersama oleh Majlis Air Dunia (WWC) dan negara tuan rumah. Acara tahun ini, bertemakan "Air untuk Kemakmuran Bersama" berlangsung dari 18 hingga 21 Mei.

Forum itu bertujuan untuk memupuk hubungan kerjasama global dan menggalakkan tindakan dalam mengenal pasti isu-isu terkini berkaitan pengurusan air melalui penyelesaian bersepadu.

Fokusnya termasuk pemuliharaan air, air bersih, keselamatan makanan dan tenaga serta mitigasi bencana.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]