Berita

Malaysia Mungkin Perlu Import Lebih Banyak Gas Jika Tidak Alih Kepada Tenaga Mampan - Rafizi

Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Malaysia mungkin berdepan keperluan mengimport lebih banyak gas bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik pada tahun-tahun akan datang sekiranya terus bergantung kepada komoditi itu tanpa usaha mempercepat peralihan kepada tenaga lebih lestari. 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata pada tahun lepas Malaysia mengimport kira-kira 25 peratus gas bagi memenuhi keperluan negara ekoran kekurangan pengeluaran sumber asli seperti minyak dan gas.

"Saya kira tidak ramai yang tahu bahawa kita telah mula mengimport gas. Bagi tahun ini, saya ingat, dijangkakan sehingga kira-kira 30 peratus daripada gas adalah import dan keadaan ini akan berterusan.

“Oleh itu, kita perlu memaklumkan perkara sebenar kepada rakyat (walaupun) hakikat ini menyakitkan,” katanya ketika menjadi ahli panel dalam program ‘Minister’s Conversation’ (Bicara Menteri) 2024 Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Rafizi berkata pengeluaran minyak mentah negara pada masa ini amat rendah iaitu sekitar 400,000 tong sehari berbanding 700,000 tong sehari pada 20 tahun lepas. 

Malah, jika tiada sebarang tindakan dibuat menjelang 2050, beliau berkata Malaysia akan bergantung sepenuhnya kepada tenaga gas import yang akan hanya meningkatkan kos sara hidup. 

Menyentuh dividen daripada Petronas, beliau berkata langkah pengambilan setiap RM1 dividen berkenaan turut memberi kesan kepada syarikat minyak dan gas negara itu, termasuk mengurangkan kemampuan kewangannya bagi mencari telaga minyak baharu.

Selain itu, Rafizi turut berkongsi beberapa cabaran untuk menstruktur semula ekonomi negara yang tidak dapat dilaksanakan dengan hanya membuat kerangka ekonomi. 

"Sebaliknya, ada perkara yang perlu dilepaskan...tidak mungkin keadaan seperti biasa. (Pertamanya) keputusan perlu dibuat bagi memastikan keadaan tidak semakin buruk.

“Kedua, sebarang perubahan daripada status quo, memerlukan perubahan minda dan budaya yang tidak mudah bagi sesebuah negara yang mempunya pandangan serta amalan sedemikian sejak berdekad lamanya,” katanya.

Ketiga, katanya, sesuatu dasar yang digubal perlu dibuat dengan mengambil pendekatan menyeluruh dan menyaksikan pelbagai cabaran termasuk soal kemampuan kewangan dan keboleklaksanaan terutamanya dari segi meningkatkan skalanya.

“Perkara keempat dan menjadi cabaran besar adalah untuk menyelaras serta memastikan tahap perubahan yang sama untuk semua dan setiap peringkat (pelaksanaan) bagi pihak berkepentingan,” katanya.

Rafizi berkata apa yang penting adalah penjawat awam perlu sedia maklum bahawa kerajaan perlu menekankan untuk membangunkan program-program ekonomi sesuai dengan penerimaan dan kumpulan sasaran. 

“(Kita juga perlu memastikan) wang yang kerajaan laburkan nanti memberi kesan dan membuahkan hasil...bukan setakat beri peruntukan, tetapi akhirnya berjaya seperti dirancang,” katanya.

-- BERNAMA


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]