Berita

Kerajaan Rancang Usaha Galak Pemasangan Sistem Solar Di Hospital Kerajaan - Fadillah



KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kerajaan sedang merancang usaha bagi menggalakkan pemasangan dan penggunaan sistem solar di hospital kerajaan menerusi kerjasama dengan pihak swasta dalam menyokong usaha peralihan tenaga di peringkat organisasi berteraskan perkhidmatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata rancangan yang merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Perubahan Tenaga Negara (NETR) itu akan melibatkan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) selain mengambil kira peruntukan kewangan sedia ada. 

“Apa yang kita rencanakan (adalah) untuk mereka bekerja dengan pihak swasta sebagai service provider, dengan pihak swasta yang akan pasang (sistem solar), tapi nanti akan ada profit sharing dari segi penjimatan tenaga selain manfaat dalam carbon trading,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sistem penjanaan tenaga solar dengan kapasiti 420 kilowatt bagi fasiliti di bawah IHH Healthcare Malaysia di Pusat Perubatan Prince Court di sini hari ini. 

Terdahulu dalam ucapannya, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata 88 peratus daripada kuota 1,100 megawatt (MW) Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) bagi pemasangan solar di bumbung bangunan untuk pengguna komersial dan industri telah berjaya diagihkan kepada pelbagai pihak setakat ini.

Beliau berkata tumpuan peralihan tenaga ketika ini akan diberikan kepada usaha memanfaatkan potensi sumber tenaga boleh diperbaharui tersedia yang dimiliki negara ini seperti daripada sumber solar, biojisim, biogas dan hidroelektrik.



“Antara sumber tenaga boleh diperbaharui yang berpotensi, mudah dibangunkan dengan kos yang optimum dan pada berskala utiliti adalah dengan memanfaatkan sumber solar di bumbung premis dan bangunan,” katanya.

Beliau turut memuji usaha IHH Healthcare Malaysia yang memanfaatkan ruang bumbung di kesemua 16 buah hospital di bawah kumpulan syarikatnya di seluruh Malaysia untuk pemasangan sistem solar.

“Inisiatif IHH Healthcare merupakan satu pencapaian penting ke arah komitmen Malaysia terhadap kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui sejajar matlamat negara mencapai pelepasan gas rumah hijau ‘net-zero’ menjelang 2050,” katanya. 

IHH Healthcare dalam kenyataan memaklumkan setakat hari ini antara rangkaian hospital itu yang telah menjana tenaga solar adalah Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Hospital Pantai Laguna Merbok, Hospital Pantai Klang, Hospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Pantai Ampang dan Hospital Pantai Batu Pahat.

Pelancaran sepenuhnya tenaga solar di semua rangkaian hospital IHH Healthcare Malaysia dijangka selesai menjelang akhir 2025 yang menyaksikan kerjasama strategik bersama Ditrolic Energy, salah satu syarikat pemaju tenaga boleh diperbaharui yang terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]