Berita

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama



KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.

Sistem tenaga solar itu akan meliputi 273,300 kaki persegi kawasan bumbung dan tempat letak kereta, menjana lebih daripada 5,700 kilowatt puncak (kWp) tenaga boleh baharu bagi membekalkan kuasa kepada pusat beli-belah itu, kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Solarvest akan menyelia kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, dan pengoperasian untuk pemasangan sistem dan menjalankan kajian tapak bagi menentukan kapasiti yang paling kos efektif untuk memenuhi keperluan tenaga pusat beli-belah itu.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest Davis Chong Chun Shiong berkata terdapat peningkatan minat terhadap penggunaan tenaga bersih, terutamanya dalam kalangan pemain komersial dan industri.

“Peningkatan nilai perolehan kontrak kami di Malaysia daripada 1.6 gigawatt (GW) tahun lepas kepada 2.8 GW tahun ini menunjukkan pertambahan pesat penggunaan tenaga bersih,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, pengurus kanan perhubungan awam dan kemampanan 1 Utama Lee Li Lian berkata pemasangan sistem tenaga solar itu merupakan langkah kehadapan bagi pusat beli-belah itu untuk mencapai matlamat pembinaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta sifar tenaga.

“Dengan tenaga solar sebagai sumber elektrik yang terjamin dan bertanggungjawab, kami berharap dapat melaksanakan lebih banyak projek pada masa akan datang bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan mengoptimumkan sumber,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]