Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zeth Lim berkata ini didorong oleh beberapa faktor, termasuk insentif kerajaan serta kenaikan bil tenaga susulan pengurangan tarif.
“Langkah memanfaatkan insentif sedia ada seperti pengecualian cukai dan subsidi dapat membantu mengoptimumkan lagi kecekapan operasi serta daya maju kewangan kami. Ini seterusnya dapat memudahkan matlamat meningkatkan lagi jumlah pemasangan yang disasarkan," katanya kepada Bernama dalam temubual baru-baru ini.
Verdant Solar mempunyai kepakaran dalam reka bentuk, pemasangan dan penyelenggaraan panel solar bagi pelanggan kediaman, komersial dan industri.
Lim berkata pengurangan tarif elektrik turut memberi insentif kepada pengguna dari segi melabur dalam penyelesaian cekap tenaga seperti Verdant Solar, sekali gus melonjakkan permintaan dan menyaksikan jumlah pemasangan lebih ketara.
Pada masa sama, katanya, syarikat berkenaan bertindak mengembangkan pasukannya dalam usaha meningkatkan kapasiti untuk menjangkau lebih banyak pelanggan serta melaksanakan projek secara cekap.
Menyentuh prospek, beliau berkata syarikat itu memberi tumpuan hebat terhadap penyelidikan dan pembangunan, khususnya dalam sistem bateri dan kenderaan elektrik.
“Sejajar usaha mengembangkan penawaran, kami komited untuk kekal di barisan hadapan dalam kemajuan teknologi serta menyediakan penyelesaian mampan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah," katanya.
Perkhidmatan pemasangan Verdant Solar pada masa ini merangkumi kawasan Semenanjung Malaysia dengan majoritinya atau 60 peratus adalah pemasangan panel solar syarikat yang tertumpu di Kuala Lumpur dengan sebahagian besar lain juga bagi projek di Johor dan Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, jangkauan kami melangkaui wilayah-wilayah utama ini dan turut merangkumi kawsan seperti Melaka, Kedah dan Kuantan,” katanya.
Bagi rancangan pengembangan syarikat di luar negara, Lim berkata Verdant Solar juga sedang mempertimbang pengembangan ke negara-negara jiran dalam masa terdekat, termasuk di Thailand dan Vietnam atas alasan kematangan pasaran dan kepakaran industri, sumber solar serta keterjaminan tenaga dan matlamat kelestarian.
Malah, kedua-dua negara itu berusaha meningkatkan keterjaminan tenaga masing-masing dan mencapai matlamat kemampanan, mendorong permintaan bagi tenaga boleh baharu seperti tenaga solar.
“Pasaran tenaga solar di Thailand dan Vietnam agak matang dengan ekosistem pemain industri dan kepakaran yang kian berkembang dan mendorong peluang bagi tujuan kerjasama serta pertumbuhan," katanya.
Merujuk rancangan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia, Lim berkata usaha berkenaan adalah sebahagian daripada pelan strategik syarikat berkenaan.
Malah, sepanjang tahun lepas, Verdant Solar bertindak meningkatkan kapasiti tenaga kerjanya secara ketara, termasuk menambah 60 peratus pekerja kepada lebih 80 pekerja berbanding 50 orang.
"Ini bertujuan meningkatkan keuntungan serta bahagian pasaran kami, sejajar dengan matlamat untuk menjadi sebuah syarikat awam," katanya.
Dalam usaha memastikan kelancaran perjalanan ke arah langkah tawaran awam permulaan (IPO), Lim berkata syarikat berkenaan turut melantik perunding profesional berpengalaman bagi memberi panduan, termasuk nasihat strategik untuk proses penyenaraian dan mengoptimumkan operasinya untuk penelitian awam.
“Walaupun jangka masa berkenaan tertakluk kepada pelbagai faktor, termasuk keadaan pasaran dan keperluan kawal selia berkaitan, kami berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan rancangan IPO yang dapat memaksimumkan lagi nilai bagi kalangan pihak berkepentingan kami,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]