PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Suruhanjaya Tenaga (ST) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bagi keselamatan elektrik, orang ramai disaran memastikan pendawaian elektrik di rumah adalah selamat dengan cara melakukan uji peranti arus baki (PAB) dengan menekan butang uji "T" sekurang-kurangnya sekali sebulan.
"Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik terputus serta-merta. Dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST untuk menggantikan PAB yang tidak berfungsi.
"Selain itu, sila pastikan wayar kelengkapan elektrik tidak koyak atau terdedah sebelum digunakan, tangan dalam keadaan kering semasa menggunakan kelengkapan elektrik,” menurut kenyataan itu.
ST turut mengingatkan agar orang ramai menggunakan kelengkapan elektrik dan lampu hiasan dengan label keselamatan ST-SIRIM, manakala suis dan kelengkapan elektrik yang tidak digunakan di rumah dimatikan sekiranya pulang ke kampung atau bercuti.
Orang ramai juga diingatkan agar mengelakkan soket terbeban dengan menggunakan kelengkapan elektrik yang berlebihan dan elak menggantung perhiasan perayaan pada tiang elektrik serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa ia sedang dicas.
Bagi keselamatan gas pula, ST menyarankan agar orang ramai memastikan dapur gas memasak dalam keadaan selamat dengan mengguna perkakas dapur gas yang mempunyai label keselamatan ST-SIRIM dan mengadakan bukaan pengudaraan secukupnya di kawasan dapur memasak.
"Sekiranya mengesan bau kebocoran gas di kawasan dapur memasak, buka tingkap atau pintu untuk menggalakkan pengudaraan di kawasan terbabit, tidak membuka atau tutup suis di kawasan itu dan cari kebocoran gas dengan menggunakan alat pengesan kebocoran gas atau buih sabun dan baiki dengan segera," menurut kenyataan itu.
ST menasihati pengguna supaya tidak meninggalkan dapur gas memasak ketika digunakan tanpa pengawasan sepenuhnya dan pastikan injap silinder gas ditutup sekiranya ingin pulang ke kampung atau bercuti.
"Dapatkan perkhidmatan kontraktor gas yang berdaftar dengan ST untuk sebarang kerja pembaikan gas berpaip di rumah," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]