Berita

Pemacuan Peralihan Tenaga Perlu Kerjasama Yang Lebih Banyak - Mga

The Malaysian Gas Association (MGA) President Abdul Aziz Othman

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Pemacuan inovasi dan kemampanan dalam peralihan teraga memerlukan kerjasama yang lebih banyak dalam kalangan pihak berkepentigan industri, kata Persatuan Gas Malaysia (MGA).

Presiden MGA, Abdul Aziz Othman berkata menghubungkan persatuan industri termasuk menyediakan peluang kepada ahli MGA, khususnya peneraju perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) akan mewujudkan nilai khususnya dalam memastikan pertumbuhan masa depan yang teguh dan mampan bagi industri berkenaan.

Oleh itu, beliau memuji acara 'Pendedahan Unjuran Aktiviti Petronas 2024-2026 : Sesi Perkongsian dengan Rakan Kongsi' yang dianjurkan oleh Perolehan Kumpulan Petronas yang menekankan komitmen MGA untuk memupuk kerjasama dan melayani kepentingan ahlinya merentasi rantaian nilai gas.

"Sesi ini bertujuan untuk berkongsi sorotan utama penerbitan di atas selain meningkatkan kesedaran, khususnya mengenai trend industri, jangkaan permintaan dan aktiviti huluan dalam negara.

"Kami gembira dengan usaha kerjasama ini, ahli MGA terutamanya peneraju OGSE telah mendapat manfaat daripada sesi perkongsian tersebut. Dengan memudahkan penyertaan ahli dalam acara itu, kami memastikan ahli kami mempunyai akses kepada maklumat yang amat berharga seperti ini serta boleh memanfaatkan peluang rangkaian yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata gas akan kekal penting dalam perjalanan peralihan tenaga rendah karbon Malaysia, ini dicerminkan dengan kedudukan gas asli sebagai bahan api peralihan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), menyumbang 56 peratus kepada gabungan jumlah bekalan tenaga primer (TPES) menjelang 2050.

“Sebagai sumber tenaga yang boleh dipercayai sejak 1980-an, gas telah menyediakan keselamatan tenaga kepada negara dan industri penjanaan,” katanya.

Abdul Aziz juga menggesa fokus berterusan pada gas sebagai pemain penting dalam perjalanan peralihan tenaga.

Tambahan pula, walaupun kerjasama industri adalah penting, sokongan kerajaan yang kukuh adalah amat perlu.

"Insentif cukai, liberalisasi pasaran, tarikan pelaburan langsung asing dan akses pembiayaan adalah penting bagi industri gas untuk memenuhi peranannya ke arah 2050," katanya lagi.

"Langkah-langkah ini akan memupuk inovasi serta seterusnya memacu pembangunan sosioekonomi dan penciptaan pekerjaan dalam negara,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]