Berita

Sarawak Energy Belanja Rm42 Juta Tambah Baik Bekalan Elektrik



SIBU, 2 April (Bernama) -- Sarawak Energy Berhad memperuntukkan RM42 juta pada tahun lepas bagi membiayai beberapa projek penambahbaikan di sekitar kawasan Sibu, Kanowit, Kapit, Daro dan Dalat di bahagian tengah Sarawak bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik kepada pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata peruntukan itu melibatkan pembinaan pencawang baharu di Kemuyang, Sibu yang siap pada penghujung 2023 bagi meningkatkan bekalan tenaga elektrik serta menyusun atur semula sistem pengagihan bekalan.

“Selain itu, Sarawak Energy turut melaksanakan projek grid pintar bertujuan mencapai tahap keselamatan bekalan dan kebolehpercayaan yang dikehendaki dalam sistem kami. Projek ini akan disasarkan untuk dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2025,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama Sarawak Energy di Dewan Kompleks Islam Sibu, hari ini.

Berucap pada majlis malam ini, beliau berkata syarikat pembekal tenaga milik kerajaan Sarawak itu berjaya menyambungkan bekalan elektrik ke 2,671 penduduk luar bandar di kawasan Sibu, Selangau, Kanowit, Kapit dan Mukah sejak 2018. 

“Selaku pembekal tenaga elektrik utama di Sarawak, di bawah bidang kuasa kawal selia Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Sarawak Energy telah mencapai kadar elektrifikasi yang hampir penuh di seluruh negeri,” katanya.

Sharbini berkata Sarawak Energy telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan sebarang gangguan bekalan elektrik sepanjang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya langkah-langkah ini termasuk memastikan sistem operasi berfungsi dengan cekap dan langkah-langkah kecemasan telah disediakan untuk membolehkan pemulihan tenaga dijalankan dengan berkesan sekiranya berlaku sebarang gangguan litar pintas.

“Menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma dalam masa seminggu lebih, pihak Sarawak Energy giat meneruskan usaha dalam memastikan bekalan elektrik berterusan sepanjang musim perayaan nanti.

“Kita juga mengalu-alukan kerjasama anda semua untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di mana-mana fasiliti elektrik Sarawak Energy. Kerjasama anda amat kita hargai,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat laporan berhubung sebarang gangguan bekalan atau kerosakan kabel dengan menghubungi Customer Service Centre atau melalui aplikasi mudah alih ‘SEB Cares’ mereka.

-- BERNAMA

 

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]