Managing director and group chief executive officer Anwar Syahrin Abdul Ajib
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Malakoff Corporation Bhd kini melangkah maju dengan melebarkan sayap daripada bergelar pengeluar tenaga bebas (IPP) kepada penjana tenaga global serta penyelesaian alam sekitar selepas memulakan perjalanan dalam segmen baharu, khususnya menerusi pengambilalihan Alam Flora Sdn Bhd pada 2019.
Hari ini, Malakoff berdiri sebagai syarikat dengan portfolio perniagaan yang pelbagai menerusi tumpuan utamanya ke atas tenaga boleh baharu (TBB) yang merangkumi tenaga solar, kuasa hidro kecil, biogas dan biojisim serta penyelesaian alam sekitar secara bersepadu termasuk sisa yang ditukar kepada tenaga selain prasarana mobiliti bebas karbon dan penyahmasinan air.
Penjenamaan Semula Pada Mei 2023
Bersandarkan usaha menyelaras amalan perniagaan teras menerusi tiga tonggak perniagaan - Malakoff Green Solutions, Malakoff Environmental Solutions dan Malakoff Energy yang berteraskan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Malakoff gigih dalam mengurangkan kesan jejaknya terhadap alam sekitar, membangunkan penyelesaian TBB selain menggalakkan aspek pemantauan alam sekitar.
Ketika berkongsi perspektif itu kepada Bernama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Anwar Syahrin Abdul Ajib menyifatkan aspek penjenamaan semula kumpulan berkenaan sebagai penting kerana membolehkan peralihan daripada imej tradisional IPP kepada pemain TBB dan alam sekitar global bersandarkan pertimbangan kelestarian dan ESG yang jelas.
“Ramai merujuk kami sebagai satu organisasi IPP lama, namun realitinya kami lebih daripada itu apabila dapat mengambil alih Alam Flora. Fokus kami kini berbeza sedikit dan semakin berkembang dari segi portfolio perniagaan yang dimiliki.
“Bagi kami, kedua-duanya mempunyai sinergi yang dapat menangani isu berkaitan kemampanan,” katanya.
Rancangan Tenaga Boleh Baharu
Merujuk TBB, beliau berkata kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai TBB pada kapasiti 1,400 megawatt (MW) menjelang 2031 berbanding pada masa ini iaitu 153 MW yang menyamai penghindaran 421,071 tan karbon dioksida setahun.
“Kami berhasrat untuk melaksanakan projek-projek berskala besar dan yakin untuk menceburi usaha membabitkan kapasiti 200 MW, 300 MW dan 500 MW.
“Malah, sebagai bukti terhadap komitmen ini, kami baru-baru ini telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Masdar (pada acara COP28 iaitu Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim) membabitkan projek 1,000MW,” katanya.
Malakoff memeterai perjanjian induk dengan Syarikat Tenaga Masa Depan Abu Dhabi PJSC-Masdar (Masdar) untuk bekerjasama membangunkan projek penjanaan tenaga fotovoltan solar (PV) dengan kapasiti agregat sehingga 1,000MW selain meninjau prospek projek TBB lain di serata Semenanjung Malaysia.
Masdar, perintis dan kuasa besar dalam tenaga bersih, telah berada di barisan hadapan untuk peralihan tenaga global dengan pelaburan dalam projek TBB, terutamanya PV solar di 40 negara.
Anwar Syahrin berkata kerjasama itu (dengan Masdar) sejajar dengan matlamat negara untuk mencapai kira-kira 70 peratus TBB menjelang 2050.
“Kami sedang melakukan lawatan tapak untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk projek kami. Proses kami melibatkan tinjauan tapak, kaji selidik radiasi dan menilai pilihan jaringan.
“Seterusnya, kami akan meneruskan kajian sistem tenaga untuk menentukan kebolehlaksanaan sambungan grid,” katanya.
Pelan pada 2024 ialah meningkatkan portfolio TBB kumpulan itu selain mencari rakan kongsi yang sesuai untuk penggabungan dan pengambilalihan.
“Sasaran memperoleh 200 MW setahun adalah sesuai, tetapi berdasarkan pasaran dan landskap industri yang sentiasa berubah, mendapat 100 MW untuk kapasiti TBB setahun akan menjadi satu pencapaian.
“Bagi usaha kenal pasti tanah untuk 100 MW, kami memerlukan kira-kira 300 ekar hingga 400 ekar yang bergantung kepada bentuk muka buminya. Jika berupaya mendapat kapasiti TBB dalam skala tersebut, ini merupakan sesuatu yang baik selain dapat melihat tarikannya,” katanya.
Malakoff juga mempunyai kemampuan melaksanakan projek solar berskala besar dan portfolionya setakat ini menyaksikan kapasiti solar 52 MW daripada solar berskala besar (LSS) dan solar atas bumbung (RTS).
“Kami sedang membangunkan 3 loji jana kuasa hidro kecil dengan jumlah kapasiti sebanyak 84 MW di Kelantan.
“Tenaga hidro telah terbukti menjadi alternatif rendah karbon paling bersih yang menawarkan pelepasan gas rumah hijau terendah bagi setiap unit tenaga elektrik yang dijana.
“Selain itu, kami merancang untuk berkembang dengan menceburi infrastruktur e-mobiliti. Pada masa ini, kami menyediakan dua pengecas kenderaan elektrik (EV) di ibu pejabat Gas Malaysia Bhd di Shah Alam, Selangor dan Gas Malaysia di Jalan Gurney, Kuala Lumpur,” katanya.
Malakoff turut memeterai banyak memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) pada tahun lepas.
Ini termasuk pelabuhan di bawah MMC Group of Companies (MMC Ports); SPPA dengan kumpulan syarikat DRB-Hicom, Gas Malaysia dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB); selain bekerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Bhd untuk program pembiayaan TBB.
Membina Kapasiti, Usaha Niaga Biojisim
Anwar Syahrin turut menyentuh arang batu yang mempunyai peranan dan peralihan menamatkan penggunaan bahan itu sepenuhnya hanya boleh dilakukan apabila ada sumber alternatif yang stabil.
“Pada masa ini tenaga solar mempunyai batasan untuk menyediakan empat jam tenaga. Penyepaduan solar dengan bateri memerlukan kos yang besar dan tidak menangani cabaran untuk memenuhi beban asas.
“Selain itu, kesan keadaan cuaca seperti hujan harian dan litupan awan memberi cabaran kepada usaha untuk memanfaatkan sinaran penuh dalam tempoh empat jam yang terhad,” katanya.
Beliau turut berkongsi mengenai usaha biojisim Malakoff di Loji Janakuasa Tanjung Bin 2,100 MW Malakoff di Johor.
“Pada 2022, kami berjaya melakukan pembakaran bersama 0.5 peratus dengan palet tandan buah kosong (EFB) di Loji Janakuasa Tanjung Bin. Jadi, tahun ini kami cuba melakukan pembakaran bersama dengan 2.0 peratus,” katanya.
Beliau berkata pihaknya telah membuat pelaburan dalam EFB, dan sedang giat meneroka pilihan pembakaran bersama dengan sumber mesra alam seperti serpihan kayu.
Inisiatif itu sejajar dengan komitmen Malakoff untuk mengatasi persepsi negatif mengenai arang batu dengan menerapkan amalan mampan dalam portfolio tenaganya.
Berikutan pencapaian Tanjung Bin Power dalam pembakaran tenaga bersama, Malakoff kini merupakan salah satu peneraju projek pemangkin utama kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Selain usaha biojisim, Malakoff turut mengetengahkan potensi besar dalam segmen sisa kepada tenaga (WTE).
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini mengumumkan enam loji WTE baharu akan dibina di seluruh negara menjelang 2025 untuk merawat sisa pepejal dengan cekap sambil menjana tenaga elektrik berasaskan konsep pengurusan sisa yang mampan dan bersepadu.
Malakoff juga menimbang dengan serius untuk menceburi segmen WTE kerana ia boleh mengurangkan dengan ketara jumlah sisa yang akan dibawa ke tapak pelupusan sampah dan menawarkan manfaat ekonomi dan alam sekitar yang menyeluruh.
“Kami terus mengenal pasti dan mengambil bahagian dalam projek baharu TBB dan lama yang berpotensi, projek berkaitan alam sekitar seperti WTE dan projek penyahmasinan air (rantau Timur Tengah dan Afrika Utara),” katanya.
Penyelesaian, Pengurusan Alam Sekitar dan Kurangkan Sisa
Syarikat itu berkata melalui Alam Flora dan Alam Flora Environmental Solutions (AFES), Malakoff mempunyai jejak karbon yang ketara dalam perniagaan pengurusan sisa.
“Kami berhasrat untuk mengembangkan lagi konsesi kami dan perniagaan penyelesaian alam sekitar bukan konsesi kami ke kawasan konsesi baharu di Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu dengan menyediakan penyelesaian mengurus dan mengurangkan sisa kepada pelanggan kami,” katanya.
Pada 27 Okt, 2023, Malakoff memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Metacorp Bhd dan Tuah Utama Sdn Bhd berhubung cadangan pengambilalihan 49 peratus kepentingan ekuiti dalam E-Idaman Sdn Bhd.
Inisiatif strategik ini bertujuan untuk mengembangkan operasi pengurusan sisanya di wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Mengenai pengurusan sisa, kumpulan itu menyasar untuk mengumpul, mengendalikan dan mengurus jumlah sisa sebanyak 10,000 tan sehari menjelang 2031.
Selain itu, Malakoff menyasarkan untuk mencapai kadar kitar semula 15-20 peratus menjelang 2025, daripada sisa yang dikumpul oleh Alam Flora dan dalam masa yang sama memberi tumpuan mencapai matlamat Sifar Sisa Ekonomi Kitaran.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]