Berita

Kerajaan Perkenal Skim Insentif Solaris Galak Pemasangan Sistem Solar Pv Di Kediaman

File photo

PUTRAJAYA, 27 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperkenalkan Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) iaitu program insentif khusus untuk menggalakkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di premis kediaman di bawah program Net Energy Metering (NEM).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pemasangan sistem solar PV di premis kediaman oleh pengguna domestik merupakan langkah 'quick wins' bagi membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB).

"Mengambil kira potensinya yang besar, pemasangan sistem solar PV di premis kediaman wajar diperluaskan bagi menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 serta mampu mengurangkan perlepasan karbon oleh sektor bekalan elektrik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pelancaran SolaRIS dijangka akan meningkatkan penerapan penjanaan solar dalam kalangan rakyat di bawah program NEM, dengan ketetapan pemberian rebat berjumlah RM1,000/kWac sehingga maksimum RM4,000 kepada pengguna baharu NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April 2024.

Skim itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia dengan had tuntutan sekali bagi setiap seorang yang merupakan pemegang akaun Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan juga terbuka kepada mereka yang merupakan pemohon kali pertama bagi program NEM.

Pemberian rebat adalah berdasarkan prinsip 'first come first served' bagi kuota NEM Rakyat yang dimohon bermula 1 April sehingga 31 Disember 2024 dan permohonan NEM Rakyat yang telah diperolehi perlu beroperasi selewat-lewatnya 31 Mac 2025, atau sehingga kesemua kuota rebat SolaRIS habis diagihkan, yang mana terdahulu.

Selain itu beliau berkata pembayaran rebat hanya akan dibuat selepas pemasangan serta pengoperasian sistem solar PV di bawah program NEM Rakyat, atas nama pemegang bil dan akan didepositkan ke dalam akaun bank tempatan pengguna, tertakluk kepada terma dan syarat tuntutan.

Pemberian insentif itu akan dikendalikan oleh TNB dan perincian program berkenaan boleh didapati di laman sesawang TNB, SEDA Malaysia dan Suruhanjaya Tenaga.

Fadillah berkata bagi memperluaskan penglibatan rakyat dalam penjanaan TBB, kerajaan juga bersetuju untuk meluluskan kuota tambahan 100 megawatt (MW) di bawah Program NEM Rakyat, menjadikan jumlah kuota yang diperuntukkan meningkat kepada 350MW. 

Permohonan kuota untuk Program NEM Rakyat dibuka sehingga 31 Disember 2024 atau sehingga kesemua kuota yang diperuntukkan habis diagihkan, yang mana terdahulu.

Dengan ketetapan itu Fadillah berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yakin SolaRIS mampu menarik lebih ramai pengguna domestik untuk menyertai dan menikmati manfaat daripada pemasangan sistem solar di premis kediaman, seterusnya menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga serta sasaran neutral karbon negara menjelang 2050.

-- BERNAMA

 

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]