Deputy Prime Minister Datuk Seri Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Pencapaian pembekalan elektrik di Semenanjung menunjukkan prestasi baik dengan catatan di bawah sasaran Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) iaitu 48 minit per pelanggan per tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pencapaian SAIDI di Semenanjung bagi 2023 adalah 46.10 minit per pelanggan per tahun berbanding 45.06 minit per pelangan per tahun pada 2022.
“Berdasarkan laporan pencapaian SAIDI, jelas menunjukkan TNB (Tenaga Nasional Berhad) berjaya mengekalkan pencapaian di bawah sasaran ditetapkan iaitu 48 minit per pengguna per tahun sepanjang tempoh tersebut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu menjawab pertanyaan P. Prabakaran (PH-Batu) yang ingin tahu langkah intervensi diambil Kerajaan Persekutuan terhadap kawasan sering mengalami gangguan bekalan elektrik.
Fadillah berkata prestasi TNB sebagai pemegang lesen pembekalan elektrik kepada lebih sembilan juta pelanggan di Semenanjung dipantau Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk memastikan sistem pembekalan elektrik sentiasa dalam keadaan baik dan stabil.
Bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik di Semenanjung, Fadillah berkata kerajaan meluluskan peruntukan perbelanjaan modal (CAPEX) TNB sebanyak RM6,851.5 juta setahun di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) Regulatori Ketiga (RP3).
“Ini bagi meningkatkan daya harap sistem dengan pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan dalam 2022 hingga 2024.
“Antara tindakan komprehensif sedang dijalankan TNB seperti mempergiatkan aktiviti senggaraan, menubuhkan Dedicated Switching Team (DCT) di kawasan dengan gangguan yang tinggi dan pemasangan fasiliti Sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data Berkomputer (SCADA) di lokasi terpilih secara berterusan,” katanya.
Mengulas mengenai punca gangguan bekalan elektrik, beliau berkata gangguan kerap berlaku adalah disebabkan beberapa faktor seperti kerosakan konduktor, kotak fius dan penyambung menindik penebat (IPC) serta gangguan tumbuh-tumbuhan.
Menjawab soalan tambahan Prabakaran mengenai langkah mitigasi untuk memastikan bekalan elektrik stabil sepanjang musim perayaan dan musim panas, Fadillah berkata gangguan bekalan elektrik boleh berlaku pada musim puncak itu berikutan peningkatan kadar penggunaan.
Sehubungan itu, beliau berkata antara langkah mitigasi yang dilaksanakan termasuk memastikan beban pada komponen atau alatan penyaluran elektrik berada dalam keadaan optimum.
“Sebagai contoh, kadar beban pada alat transformer pada bawah kadar 45 peratus, beban pada kabel bawah 50 peratus supaya pepasangan TNB yang bersambung kepada premis rakyat mampu membawa lebih beban pada waktu puncak.
“Langkah lain termasuk kerja penyelenggaran berasaskan keadaan, membuat audit serta merancang dan menaik taraf sistem voltan rendah,” katanya.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]