Berita

Bomba Akan Sedia Garis Panduan Pemasangan Panel Solar



IPOH, 20 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengeluarkan garis panduan dalam pemasangan panel solar di bangunan, premis perniagaan dan rumah di seluruh negara.  

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata ia bagi memastikan pemasangan mengikut spesifikasi yang akan ditetapkan untuk keselamatan.

Beliau berkata garis panduan itu juga akan melibatkan pihak Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.

"Kita akan bentangkan mengenai jarak antara panel, saiz yang sesuai, kelompokan panel dan lain-lain perkara teknikal ketika pemasangan panel solar di rumah mahupun mana-mana premis," katanya pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji JBPM Perak dekat sini hari ini.

Nor Hisham berkata banyak yang boleh dipelajari daripada kebakaran Mydin Manjoi baru-baru ini yang dilihat perlunya ada kawalan atau garis panduan sesuai dalam pemasangan panel solar.

"Ketika kebakaran di Mydin Manjoi, pasukan bomba tidak boleh lakukan tebukan manual pada bumbung pasar raya itu akibat panel solar yang bercantum untuk tujuan pengudaraan. 

“Apabila kita tidak boleh buat tebukan secara manual kepada bumbung, kita sukar nak kesan api. Ini antara penemuan yang kita kenal pasti dan perkara inilah yang kita kena letakkan dalam garis panduan kelak," katanya.

Dalam pada itu Nor Hisham berkata bomba mengenal pasti kebakaran Mydin Manjoi pada 10 Mac lepas berpunca daripada satu daripada panel pembahagi elektrik di bangunan itu. 

Sementara itu beliau berkata JBPM akan menumpukan kepada 652 titik panas kebakaran seluruh negara susulan musim kemarau ketika ini termasuk tapak pelupusan sampah, hutan dan kawasan gambut.

"Ada tiga negeri yang merekodkan kebakaran terbuka yang besar iaitu Selangor, Johor dan Sarawak, jadi kita akan beri tumpuan kepada lokasi-lokasi hotspot yang dikenal pasti," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]