KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Isu berkaitan hala tuju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), masalah bekalan air dan elektrik di Labuan serta kesediaan kerajaan memperkenal lebih banyak percukaian alternatif yang progresif antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) bertanya kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai inisiatif serta pendekatan baharu kerajaan dalam memperkasakan hala tuju TVET bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional dan teknikal berdaya maju pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Masalah bekalan air dan elektrik yang semakin meruncing di Labuan sehingga menjejaskan minat pelabur dan status program yang bakal diadakan di wilayah itu bagi menyelesaikan isu terbabit akan dikemukakan oleh Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) kepada Perdana Menteri.
Pada sesi sama, Rodziah Ismail (PH-Ampang) meminta Menteri Kewangan menyatakan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memperkenal lebih banyak alternatif percukaian progresif seperti Cukai Harta Pusaka dan Cukai Keuntungan Modal terlebih dahulu sebelum melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam usaha mempelbagai serta meningkatkan pendapatan negara selain menangani defisit.
Persidangan Dewan Rakyat juga dijadual membincangkan mekanisme yang bakal diguna pakai bagi membolehkan harga barang asas diturunkan dalam Program Jualan Agro MADANI yang akan diajukan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada sesi soal jawab lisan.
Beliau juga ingin tahu sejauh mana program itu mampu dilaksana secara meluas dan berterusan khususnya bagi penjual serta peniaga yang perlu menyerap kenaikan kos pengeluaran.
Pada sesi sama, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) meminta Menteri Ekonomi menyatakan syor kerajaan dalam memperkenal pengelasan pendapatan isi rumah yang baharu bersandarkan klasifikasi pendapatan boleh belanja bersih berbanding klasifikasi berdasarkan pendapatan isi rumah yang digunakan ketika ini.
Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan pegawai perubatan khususnya dalam bidang pembedahan kardiotorasik dan perubatan keluarga yang kini dalam latihan serta jumlah dana yang telah dibelanjakan kerajaan untuk biasiswa serta penyediaan prasarana latihan.
Selain itu, persoalan mengenai status kelulusan peruntukan bagi pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) akan dikemuka oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) kepada Menteri Kerja Raya.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan menyambung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Berdasarkan takwim dalam laman sesawang rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.
Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]