Berita

Bank Islam, Sand Town Meterai Perjanjian Pembiayaan Rm91.5 Juta Untuk Projek Ladang Solar



KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) telah menandatangani perjanjian pembiayaan berjumlah RM91.5 juta dengan Sand Town Solar Sdn Bhd (STS), anak syarikat Kumpulan Gading Kencana Sdn Bhd (GKSB) untuk projek ladang solar photovoltaic (PV) di Perak .

STS ialah syarikat perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui yang mengkhusus dalam mereka bentuk dan memasang sistem PV suria serta mewujudkan serta menyelenggara sistem pengurusan elektrik dan tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata STS adalah syarikat tujuan khas (SPV) untuk projek ladang PV solar 29.99 megawatt (MW) di Bidor, Perak dan membekalkan tenaga elektrik yang dijana kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah Skim Susunan Penghantaran Baharu Yang diPertingkatkan (NEDA).

“STS akan menggunakan pembiayaan berkenaan daripada bank untuk menampung perbelanjaan modal yang diperlukan termasuk membiayai semula tanah dan kos pembangunan untuk ladang solar PV berkapasiti 29.99 Megawatt (MW).

“Pembiayaan ini akan membantu dalam peralihan tenaga Malaysia daripada penjanaan kuasa berasaskan bahan api fosil dan arang batu kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar sekali gus menggalakkan penggunaan penyelesaian mesra alam,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian pembiayaan berkenaan hari ini.

NEDA adalah inisiatif Suruhanjaya Tenaga untuk meningkatkan kecekapan dalam persaingan penjanaan elektrik jangka pendek dan menurunkan harga elektrik.

 Majlis menandatangani perjanjian pembiayaan itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mohd Muazzam berkata Bank Islam telah bekerjasama dengan Kumpulan GKSB dalam menjayakan beberapa projek sejak tahunn 2019.

Antara projek Kumpulan GKSB yang disokong termasuk pembangunan ladang solar berkapasiti 8MW di Bandar Hang Tuah Jaya, Melaka dan ladang solar berskala besar, berkapasiti 30MW di Bidor, Perak.

“Strategi perniagaan Bank Islam meletakkan sasaran sebanyak RM4 billion untuk aset Syariah-Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Syariah-ESG) pada tahun 2025.

“Matlamat ini telah dicapai dua tahun lebih awal dengan jumlah aset Syariah-ESG Bank Islam mencecah RM4.5 bilion pada akhir tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan GKSB, Datuk Dr Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng berkata NEDA berperanan membantu mewujudkan satu ekosistem pasaran tenaga elektrik lebih kompetitif untuk Malaysia terutamanya pada masa depan.

“Menerusi NEDA, jaminan yang disediakan oleh bank agak longgar namun mereka juga mengambil risiko kerana perlu mengambil langkah kawalan bagi memastikan hasil jualan tenaga dijual dan dibayar ke akaun pemilik projek tanpa perlu melalui TNB. 

“Potensi tenaga boleh baharu di negara kita sangat besar terutamanya yang berasaskan solar termasuk untuk dieksport dan untuk meneroka potensi ini amat memerlukan sokongan daripada industri perbankan untuk pembiayaan,” katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]