Berita

Mesyuarat Naccol Bincang Cadangan Pengecualian Kenaikan Sst Bil Air, Elektrik



KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Cadangan pengecualian kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bil air dan elektrik akan diteliti dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 20 Mac ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara yang berkaitan kenaikan SST dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan.

“Perkara berkaitan kenaikan SST memang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri kira-kira dua minggu lepas...ada satu kertas khusus untuk kita melihat kesan dan impaknya.

“...dan insya-Allah perkara dibangkitkan Yang Berhormat Ayer Hitam kami akan bawa untuk dikaji dan bawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan berhubung cadangan yang dibangkitkan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) supaya bil air dan elektrik dikecualikan daripada kenaikan SST, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Armizan berkata melalui NACCOL juga, kerajaan memastikan setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksanakan melalui kementerian dan agensi akan memberikan pertimbangan terhadap elemen kos sara hidup. 

Selain penggubalan dasar dan program utama merentasi pelbagai kementerian, strategi dan pendekatan  intervensi dan mitigasi juga dilaksanakan dalam menangani pelbagai isu berkaitan kos sara hidup termasuk menggalakkan penglibatan pelbagai pemegang taruh, katanya.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM58.1 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk subsidi, insentif dan bantuan dalam menangani pelbagai isu dan kesan berkaitan kos sara hidup rakyat.

Inisiatif yang dilaksanakan melalui peruntukan tersebut tidak termasuk yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak lain seperti badan korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan badan bukan kerajaan serta kerajaan negeri, katanya.

Antara inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti Program Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Inisiatif FlySiswa dan Skim Harga Diskaun Tiket Musim Perayaan, Program MyLesen (B2, PSV, E DAN GDL), Pas Bulanan Tanpa Had My50 dan Skim Perubatan MADANI.

“Senarai inisiatif keseluruhan akan dipaparkan melalui Portal IHSAN MADANI yang akan dilancarkan pada 20 Mac 2024,” katanya menjawab soalan asal Dr Richard Rapu (GPS-Betong) yang ingin tahu sejauh mana inisiatif NACCOL berjaya mencapai objektif menangani kos sara hidup rakyat serta jenis inisiatif tersebut.

Sementara itu, menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai peranan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam NACCOL, Armizan berkata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu adalah Ketua Task Force Pemantauan Kepada Kluster Makanan.

-- BERNAMA

 

 

 




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]