Berita

Malakoff Jamin Keselamatan Tenaga Malaysia Menerusi Gabungan Sumber Tenaga Boleh Diperbaharui, Tidak Boleh Diperbaharui

Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Sebagai syarikat Penjana Kuasa Bebas (IPP) di Malaysia, Malakoff Corporation Bhd (Malakoff) komited dalam menyeimbangkan kesalinghubungan antara sumber tenaga tidak boleh diperbaharui dan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Pengerusinya Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali berkata kesalinghubungan itu penting bagi memastikan keselamatan tenaga tidak terjejas dengan mengambil kira faktor jaminan bekalan dan kelestarian tenaga.

"Amat penting bagi Malakoff untuk berupaya membekalkan kuasa dan tenaga kepada Sistem Grid Nasional supaya permintaan tenaga sentiasa dapat dipenuhi.

“Pada masa ini, rata-rata antara 17 hingga 20 peratus daripada tenaga yang dibekalkan kepada negara adalah daripada stesen-stesen jana kuasa milik Malakoff," katanya kepada Bernama.

Ahmad Tajuddin berkata syarikat pengeluar tenaga dan peneraju dalam pengurusan sisa ini sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran untuk mencapai keseimbangan dalam penyelidikan bagi membangunkan sumber alternatif yang lebih mampan.

Menurutnya Malakoff juga bertanggungjawab dalam penyelarasan sumber tenaga boleh diperbaharui dan tenaga tidak boleh diperbaharui selain mempelbagaikan pengunaan campuran bahan api.

Ia sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber termal dengan menggunakan sumber penjanaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro dan biojisim.

Malakoff melalui Loji Janakuasa Tanjung Bin (TBPP) miliknya yang berkapasiti 2,100 megawatt (MW) merupakan satu-satunya syarikat IPP di Malaysia yang terpilih untuk menerajui projek Penyelarasan Biojisim atau Biomass co-firing dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Fasa penyelarasan pertama sebanyak dua peratus hingga tiga peratus akan bermula pada 2024 dengan matlamat untuk meningkatkan kapasiti penyelarasan biojisim sehingga 15 peratus menjelang 2027.

Sementara itu, beliau berkata sebarang usaha peralihan tenaga haruslah mengambil langkah berhati-hati serta mengambil kira situasi semasa negara dalam menghentikan penjanaan tenaga yang menggunakan sumber termal.

Beliau berkata ini berikutan Malaysia masih bergantung kepada penjanaan tenaga menggunakan sumber termal dan hampir 50 peratus keupayaan tenaga negara dijana melalui arang batu.

"Peralihan ini dijangka berterusan sekurang-kurang satu dekad lagi," katanya.

Ahmad Tajuddin berkata antara cabarannya adalah menyesuaikan diri dengan persekitaran tenaga mampan yang sentiasa berubah-ubah dalam memastikan penyelesaian yang praktikal.

"Peralihan tenaga memerlukan sokongan daripada negara-negara maju khususnya berkaitan hal pembiayaan, teknologi dan pengurusan kos yang tidak membebankan syarikat serta pengguna," katanya.

Malakoff yang sebelum ini melalui penjenamaan semula mengumumkan inisiatif yang memacu ke arah alam sekitar yang lebih mampan.

Setakat ini, menerusi jaluran perniagaan baharu -- ‘Malakoff Green Solutions,’ portfolio tenaga boleh diperbaharui Malakoff kini mempunyai kapasiti sebanyak 153 MW yang merangkumi pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS) dan solar atas bumbung (RTS), serta penjanaan kuasa mini hidro dan pemasangan infrastruktur mobiliti bebas karbon.

Kesemua inisiatif ini memperkukuhkan lagi komitmen Malakoff yang bersesuaian dengan slogannya iaitu ‘Enhancing Life, Enriching Communities’.

Dengan menyelaraskan amalan perniagaan terasnya dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Malakoff komited dalam mengurangkan jejak karbon dan membangunkan penyelesaian sumber tenaga boleh diperbaharui.

Ahmad Tajuddin berkata syarikat kini sedang giat meneroka teknologi baharu untuk memperbaiki keberkesanaan penjanaan yang menggunakan sumber termal.

"Namun, masih ada hadnya. Malah, Malakoff sendiri sentiasa melaksanakan kajian teknik baharu dalam pembakaran berasakan sumber termal untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta meningkatkan tahap kecekapan pembakaran," katanya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]