TNB president and chief executive officer Datuk Seri Baharin Din
KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) kini memulakan projek fotovoltan (PV) Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS) di bawah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) di tasik empangan hidronya.
Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Baharin Din berkata syarikat komited untuk melaksanakan projek PV HHFS selepas kejayaan projek perintisnya di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak.
“Dalam usaha negara bergerak ke arah masa depan berkarbon rendah dan kelestarian alam, TNB, melalui TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), bercadang untuk melaksanakan projek pembangunan PV HHFS dengan kapasiti 2,500 megawatt (MW).
“Inisiatif peralihan tenaga ini bertanggungjawab dalam menyediakan solusi tenaga lestari dengan impak ekologi yang positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat merancang untuk mempercepat pelaksanaan HHFS dengan kapasiti 2,500MW, bermula dengan 30MW di Empangan Hidro Chenderohnya (Perak), diikuti dengan lokasi di Empangan Hidro Temenggor (Perak) dan Kenyir (Terengganu).
“Ladang solar terapung boleh melengkapkan sumber tenaga boleh baharu lain untuk membekalkan tenaga kepada grid kebangsaan dengan potensi untuk meningkatkan tenaga bersih secara ketara,” kata Baharin.
Menurut kenyataan itu, TNB telah menandatangani kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Terengganu Incorporated untuk memastikan pembangunan HHFS dilaksanakan dengan berjaya dan bertanggungjawab.
Sejak 2019, solar terapung PV TNB di kolam abu seluas 175 hektar di SJSAS telah menjana lebih 600 MWh tenaga.
Terdapat 288 modul PV solar yang telah dipasang dengan kapasiti sebanyak 105.12kWp, setara dengan pengurangan karbon dioksida (CO2) sebanyak 390 tan selama empat tahun beroperasi atau penyerapan CO2 oleh 15,624 pokok. Tenaga elektrik yang dihasilkan oleh sistem ini mampu memenuhi keperluan tenaga bagi 30 buah rumah.
Baharin berkata dengan menggunakan air untuk pepasangan solar, TNB boleh menjimatkan penggunaan tanah, mengekalkan habitat semula jadi, mengurangkan pengewapan air, mengurangkan pencemaran dan menyokong biodiversiti dengan kadar gangguan yang minimum kepada ekosistem akuatik.
Berbeza dengan loji janakuasa termal, ladang solar terapung tidak menghasilkan buangan air atau udara yang boleh memberi kesan negatif kepada kualiti persekitaran (air atau udara), katanya.
“Secara keseluruhannya, ia mencerminkan integrasi harmoni penjanaan tenaga boleh baharu dengan pemuliharaan alam sekitar.
“Perancangan teliti dan penilaian impak alam sekitar merupakan aspek penting dalam memastikan integrasi yang lestari untuk pepasangan ini dalam ekosistem air,” kata Baharin.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]