Berita

Sedc Energy, Gallois New Energy Memeterai Mou Bina Kilang Grafit Rm6.3 Bilion Di Bintulu



KUCHING, 2 Feb (Bernama) -- SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Gallois New Energy Materials (M) Sdn Bhd untuk membina sebuah kilang pembuatan grafit bermutu tinggi di Bintulu, Sarawak.

Kilang itu yang terletak di Taman Perindustrian Samalaju (SIP), akan mengeluarkan grafit semula jadi sfera dan sintetik dengan pelaburan bernilai US$1.5 bilion (kira-kira RM6.3 bilion), kata SEDC Energy dalam satu kenyataan sempena majlis menandatangani MoU itu hari ini.

“Langkah strategik tersebut seperti yang digariskan dalam MoU itu akan menumpukan kepada produk grafit mewah melalui pelancaran pembangunan tiga peringkat yang dirancang menjelang 2025, tertakluk kepada ketersediaan tenaga 100 megawatt dengan memanfaatkan kelebihan infrastruktur Sarawak seperti kos yang lebih rendah serta kuasa hidro yang boleh diperbaharui,” katanya.

Kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak meneroka peluang dalam industri kenderaan elektrik (EV), menjangkakan peningkatan keupayaan dan pertumbuhan mampan bagi Sarawak.

“Serentak dengan itu, keputusan kumpulan Gallois di Sarawak bagi kilang pembuatan grafit bermutu tinggi di SIP mampu mengukuhkan Sarawak  sebagai sumber grafit global utama untuk bahan anod neutral karbon, ketulenan terbaik  di luar China yang boleh memenuhi permintaan yang semakin bertambah bagi bekalan grafit yang mampan dan kos efektif dalam pasaran bateri EV yang berkembang.

“China, yang menyumbang lebih daripada 95 peratus produk grafit bermutu tinggi pengeluar global, telah mula menyekat eksport produk itu sejak Disember lepas.

“Oleh itu, pada masa sekarang terdapat permintaan tinggi untuk rantaian bekalan pembuatan grafit mewah di luar China, sekali gus menjadikan Sarawak rantaian bekalan global utama bagi grafit bermutu tinggi di luar China,” katanya.

SEDC Energy berkata kerjasama itu akan menjana peluang ekonomi serta penciptaan pekerjaan selain menarik pelaburan berkaitan EV, meletakkan negeri itu sebagai hab transformasi EV.

“Inisiatif penting ini dijangka akan mengubah landskap ekonomi Bintulu, mengadakan lebih 1,000 pekerjaan berkemahiran tinggi peluang untuk masyarakat setempat,” tambahnya lagi.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy Robert Hardin dan Pengarah Gallois New Energy Chai Ming Chen, sambil disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir ialah Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain dan Presiden Gallois Group of Companies George Lu.

SEDC Energy, sebagai peneraju dalam inisiatif tenaga lestari, telah terlibat dalam pelbagai usaha niaga yang mengkhusus dalam tenaga baharu termasuk pemasaran serta perdagangan minyak dan gas hiliran, yang akan mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam landskap tenaga Malaysia.

Antara usaha niaganya ialah pengeluaran minyak alga mentah, bahan api penerbangan lestari, biojisim, bekalan hidrogen, perniagaan hiliran dan huluan serta penyelesaian mobiliti hijau.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Malaysia Sedia Jalin Kerjasama Rapat Dengan Arab Saudi Dalam Bidang Tenaga Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia sedia menjalin kerjasama rapat dengan Arab Saudi bagi meneroka potensi usaha sama serta bertukar-tukar ilmu dan pengalaman dalam bidang tenaga diperbaharui  selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).


Malaysia Libatkan Diri Secara Aktif Dengan Negara Asean Kukuhkan Ketersambungan Tenaga - Fadillah

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Malaysia terlibat secara aktif dengan negara-negara ASEAN lain untuk memacu inisiatif serantau seperti Grid Kuasa ASEAN, yang bertujuan memperkukuh ketersambungan dan keselamatan tenaga elektrik di seluruh rantau ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Storan Tenaga Penting Dalam Majukan Agenda Tenaga Boleh Diperbaharui Malaysia - Schneider Electric

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Storan tenaga memainkan peranan penting dalam memajukan agenda tenaga boleh diperbaharui Malaysia kata Naib Presiden Kanan Secure Power Division Schneider Electric Natalya Makarochkina.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]