Berita

Mypower Corp Kaji Pembaharuan Tarif Elektrik - Fadillah

File pic

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- MyPower Corp sedang mengkaji untuk melakukan pembaharuan struktur tarif elektrik, dan hasil kajian itu dijangka menentukan struktur tarif sewajarnya yang menggambarkan kos sebenar bekalan elektrik, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata struktur tarif baharu itu dijangka dilaksanakan menjelang 2025, seiring dengan tempoh kawal selia keempat (RP4) Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), yang meliputi tahun 2025 hingga 2027.

Menurut Fadillah, desentralisasi sektor penjanaan kuasa telah dilakukan sejak 1990-an, sehubungan itu pindaan kawal selia mengenai perkara ini tidak sewajarnya berlaku.

“Pelaksanaan pembaharuan struktur tarif elektrik tidak memerlukan pindaan terhadap  Akta Bekalan Elektrik memandangkan pelaksanaannya dilakukan oleh kementerian (Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam) melalui Pejabat Program Malaysia untuk Pembaharuan Tenaga Elektrik atau  MyPower,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

MyPower adalah agensi tujuan khas yang ditubuhkan untuk menguruskan pembaharuan utama dalam inisiatif Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) yang sejajar dengan program transformasi ekonomi kerajaan.

Agenda transformasi MESI berhasrat untuk menangani isu industri dan keperluan jangka panjang mengenai kebolehpercayaan, ketelusan, kecekapan dan kemampanan operasi dan penyampaian tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia.

Berhubung pindaan terhadap Akta Bekalan Elektrik 1990, Fadillah berkata perkara itu masih di peringkat awal memandangkan kementerian dan Suruhanjaya Tenaga akan menganjurkan bengkel dan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata, meskipun industri bekalan elektrik Malaysia sering kali dilihat sebagai berpusat, dengan kebanyakannya melibatkan perusahaan milik negara atau bersekutu, hakikatnya, segmen penjanaan kuasa di Semenanjung Malaysia dan Sabah telah mengalami liberalisasi sejak 1990-an.

Fadillah berkata entiti seperti Tenaga Nasional Bhd atau Sabah Electricity Sdn Bhd tidak beroperasi sebagai pengeluar tenaga eksklusif.

“Setakat ini, kira-kira 2,500 pengeluar tenaga konvensional dan tenaga boleh baharu berada di Malaysia. Landskap kepelbagaian ini mencerminkan sektor penjanaan kuasa yang lebih pelbagai dan berdaya saing berbanding struktur berpusat yang biasa dilihat,” katanya.

 

Pertimbang impak kepada rakyat 

Sementara itu, Fadillah berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan ketelusan operasi grid nasional, termasuk pengasingan sepenuhnya pembeli tunggal dan pengendali sistem grid daripada syarikat utiliti.

Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu membincangkan pendekatan paling sesuai untuk melakukan pembaharuan terhadap industri bekalan elektrik dengan mempertimbangkan impak positif dan negatif kepada pengguna.

“Di peringkat global, terdapat pelbagai mekanisme dilaksanakan oleh negara berbeza untuk menguruskan industri bekalan elektrik. Bagaimanapun, setiap (mekanisme) mempunyai kelebihan dan kelemahan,” katanya.

Menurut Fadillah, dengan mengambil kira tahap pembangunan industri pengeluaran tenaga di Malaysia, sebarang potensi pembaharuan mengenai pengurusan bekalan elektrik perlu diberikan keutamaan lebih tinggi bagi memastikan tarif elektrik yang mampu milik kepada rakyat.

Beliau berkata pembaharuan di pasaran terbuka boleh merendahkan tarif elektrik kepada pengguna dengan meningkatkan persaingan dan kecekapan sektor elektrik, tetapi pembaharuan ini juga boleh mendedahkan pengguna kepada turun naik harga dan ketidaktentuan memandangkan harga akan bergantung kepada bekalan dan permintaan pasaran.

“Cabaran terbesar bagi liberalisasi pasaran elektrik adalah mengimbangkan matlamat bersaing dari segi keselamatan, kemampuan dan kemampanan bekalan elektrik.

“Sehubungan itu, apa-apa pertimbangan untuk melakukan pembaharuan kepada industri bekalan elektrik atau liberalisasi industri elektrik perlu mengambil kira impak ekonomi dan sosial kepada pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

-- BERNAMA





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]