Berita

Pestech Jangka Pertumbuhan Kukuh Dalam Infrastruktur Tenaga Di Malaysia



KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Pestech International Bhd menjangkakan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam peluang-peluang infrastruktur tenaga di Malaysia, yang mana kemahiran dan perkhidmatan yang disediakan oleh kumpulan itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya.

Menurut Laporan Tahunan Pestech 2023, syarikat itu menyatakan pasaran infrastruktur tenaga kekal teguh, terutamanya di rantau Asean.

“Di peringkat serantau, kerajaan Kemboja telah mengeluarkan Pelan Induk Pembangunan Tenaga (2022 – 2040) (PDP) yang menumpukan kepada pembangunan tenaga secara keseluruhannya, meliputi permintaan tenaga di masa depan di negara itu, bekalan tenaga yang boleh dipercayai dan berkemampuan, keselamatan tenaga yang diperkukuhkan, dan meningkatkan bahagian tenaga bersih,” katanya.

Pestech berkata di bawah PDP, dianggarkan pelaburan sebanyak US$9.2 bilion (US$1= RM4.72) diperlukan untuk mengembangkan kapasiti penjanaan tenaga domestik Kemboja. 

Ia berkata kerajaan dan pihak berkuasa di negara-negara serantau terus melakukan perbelanjaan modal yang amat diperlukan untuk mengembangkan dan meningkatkan kualiti tenaga serta akses kepada semua sektor dalam komuniti yang di bawah khidmat mereka.

“Kami positif terhadap prospek keseluruhan bagi kumpulan yang beroperasi di geografi yang dipenuhi dengan prospek yang luas ini. Kami berharap pihak berkepentingan kami juga dapat menghargai potensi pertumbuhan pasaran bagi kumpulan ini.

"Kami mencuba dan juga berterima kasih di atas sokongan dan kepercayaan berterusan yang diberikan kepada Pestech dan komited mengembangkan kumpulan ke arah masa depan yang lebih cerah," katanya.

Pestech berkata ia juga telah terlibat secara aktif dalam penstrukturan semula, termasuk mendapatkan sumber suntikan ekuiti baharu ke dalam syarikat serta memberi tumpuan kepada pemerolehan kontrak-kontrak baharu.

Kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM79.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2023.

Hasil bagi suku semasa berakhir 30 Sept, 2023 berjumlah RM88.20 juta disebabkan sumbangan hasil yang lebih rendah daripada segmen rel ekoran penamatan kontrak bagi projek aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tahun kewangan berakhir bagi kumpulan itu telah ditukar dari 30 Jun kepada 30 Sept, dan tiada maklumat kewangan tersedia yang boleh dibandingkan untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya.

-- BERNAMA




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]