Berita

Projek Maharani Energy Gateway Akan Bantu Pacu Inisiatif Tenaga Hijau Negara - Tengku Zafrul



KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Projek Maharani Energy Gateway yang akan dibina di Muar, Johor dengan jumlah pelaburan US$2 bilion, bakal membantu memacukan lagi inisiatif tenaga hijau Malaysia serta meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan negara dengan syarikat China, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Projek Maharani Energy Gateway merupakan kerjasama antara Maharani Energy Gateway Sdn Bhd (MEG) dengan China Energy International Group (CEIG) Sdn Bhd untuk membina loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) dan loji hidrogen dan ammonia hijau.

Tengku Zafrul berkata kerajaan menggalakkan lebih banyak entiti terkemuka dunia seperti CEIG, untuk melabur dalam perniagaan dan idea baharu yang boleh menjadi satu lagi pencapaian besar seterusnya bagi Malaysia.

“Ini akan membantu memangkin penciptaan kekayaan baharu sambil menggalakkan matlamat pembangunan mampan negara,” katanya selepas menyaksikan majlis pemeteraian dua perjanjian kerangka kerjasama antara MEG dan CEIG hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata hasil daripada dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu telah menyaksikan banyak pihak asing menjalin kerjasama dengan pemain domestik untuk memacu lebih banyak pelaksanaan inisiatif hijau di negara ini pada masa depan. 

“Permeteraian perjanjian antara MEG dan CEIG serta loji turbin gas kitaran gabungan, hidrogen dan ammonia  hijau mereka di Maharani Energy Gateway akan melengkapkan industri minyak dan gas, petroleum dan petrokimia di sekitar Johor, terutamanya Pengerang, Tanjung Bin, Tanjung Langsat dan Pasir Gudang.

“Ia juga akan membantu menjadikan Malaysia sebagai hab dan ekosistem tenaga serantau yang mampan dan menumpukan kepada tenaga boleh baharu,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MEG Datuk Dr Daing A Malek Daing A Rahaman berkata loji janakuasa CCGT akan menggunakan gas asli dan hidrogen untuk menjana elektrik yang boleh dieksport ke grid nasional dan negara-negara jiran.  

“Projek usaha sama itu akan melengkapkan Inisiatif Tenaga Hijau Malaysia, yang merangkumi pelbagai program dan dasar untuk menggalakkan pembangunan dan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Maharani Energy Gateway ialah projek penambakan laut di pesisir pantai Muar, Johor.

Projek tersebut bertujuan untuk mewujudkan hab tenaga dan pelabuhan laut dalam dengan membina tiga pulau buatan manusia meliputi kawasan seluas 1,295 hektar persegi dan mewujudkan 45,000 peluang pekerjaan.

-- BERNAMA

 

 




    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]