File Photo
KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- BMI menjangkakan kuasa terma konvensional akan kekal sebagai sektor tenaga terbesar di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang walaupun terdapat matlamat serta komitmen oleh pasaran untuk mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil.
Subsidiari kepada Fitch Solutions itu berkata arang batu serta gas adalah jenis tenaga pilihan utama di sub -rantau, dengan penjanaan kuasa arang batu dan gas menyumbang kira-kira 43 peratus serta 29 peratus kepada campuran tenaga pada 2023.
“Walaupun negara anggota Asean mempunyai sasaran pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050, kami percaya momentum ke arah sasaran ini tidak akan cukup kuat untuk mengurangkan dengan ketara penggunaan arang dan gas dalam campuran tenaga,” katanya dalam nota hari ini.
BMI berkata arang batu terma digunakan secara meluas dalam sektor tenaga Asia Tenggara, dengan pasaran pengeluar arang batu utama juga terletak dalam sub-rantau seperti di Vietnam dan Indonesia.
Majoriti gas asli yang dipakai untuk penjanaan kuasa juga diperoleh dari dalam negeri, contohnya Filipina dengan Lapangan Gas Malampaya, Thailand dengan projek di Teluk Thailand dan Myanmar dengan projek di Laut Andaman.
“Memandangkan bekalan serta rizab semasa seperti yang ditetapkan oleh pengeluar perlombongan, minyak dan gas, kami menjangkakan sumber yang tersedia serta pengeluaran dalam negara akan terus meningkatkan bagi mengekalkan permintaan arang batu terma dan gas asli Asia Tenggara daripada sektor tenaga,” kata BMI.
“Walaupun terdapat pasaran yang ingin meningkatkan import gas asli, terutamanya Filipina dan Vietnam, sebarang peningkatan ketara dalam import akan berlaku pada separuh kedua tempoh jangkaan kami, dengan potensi kecil untuk menggantikan bekalan domestik yang dimiliki oleh rantau ini dan ia akan terus berkembang,” tambahnya.
Arang batu dan gas adalah penting kepada bekalan kuasa Asia Tenggara
Sekiranya bekalan bahan api fosil menjadi terhad dan harga tenaga dinaikkan pada 2024, BMI percaya kerajaan akan meningkatkan harga elektrik selain merancang pemotongan kuasa, yang akhirnya berkurangan apabila kerajaan secara beransur-ansur mentauliahkan lebih banyak kapasiti tenaga.
Pada 2023, pasaran Asia Tenggara berhadapan dengan isu keselamatan tenaga, dengan kesan iklim serta dan bekalan bahan api fosil yang terhad pada 2023 telah menonjolkan cabaran pasaran.
BMI berkata selain bekalan kukuh bahan api fosil yang tersedia di dalam negara, tenaga terma konvensional mampu menyediakan beban asas kuasa yang berterusan untuk mengekalkan pengembangan operasi dalam pasaran baru muncul.
Pada 2023 terdapat beberapa gangguan bekalan elektrik dan pemotongan bekalan yang dirancang dilaporkan berlaku di seluruh pasaran Asia Tenggara yang terkenal seperti Filipina, Thailand dan Vietnam.
Dalam jangka panjang, BMI juga percaya perkembangan dalam penyimpanan tenaga serta kejatuhan kos dalam tenaga solar dan angin akan memberi peluang kepada tenaga boleh diperbaharui untuk menggantikan secara beransur-ansur kuasa bahan api fosil dalam penjanaan beban asas.
Sementara itu, pasaran Asia Tenggara mencatatkan prestasi kemajuan yang mantap, membangunkan grid tenaga serantau dengan menghubungkan grid kuasa nasional, yang akan memudahkan lebih banyak penyepaduan tenaga boleh diperbaharui, katanya lagi.
Pada 2023, pelbagai perjanjian perdagangan elektrik telah ditandatangani di rantau ini, pada masa yang sama, beberapa pengumuman kepentingan secara terbuka untuk mengukuhkan perdagangan elektrik rentas sempadan oleh kerajaan dan syarikat swasta telah dibuat.
“Kami percaya bahawa pengumpulan tenaga akan memberi manfaat kepada matlamat rantau ini untuk mengembangkan sektor boleh diperbaharui mereka, dengan memanfaatkan pasaran dengan sumber darat yang boleh diakses untuk projek tenaga angin dan fotovoltan berskala besar,” kata BMI.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]