Berita

Capai Aspirasi Sifar Karbon Menjelang 2050, Tenaga Nuklear Diperlukan - Agensi Nuklear

Nuklear Malaysia director-general, Dr Rosli Darmawan Credit: FB Malakoff Corporation Berhad

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) tidak menolak kemungkinan bahawa penggunaan tenaga nuklear mungkin diperlukan bagi proses penjanaan tenaga dalam usaha merealisasikan aspirasi karbon sifar bersih menjelang 2050.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr Rosli Darmawan berkata meskipun penggunaan tenaga nuklear tidak disebut secara khusus dalam Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, namun pihaknya sentiasa bersedia untuk meneroka penjanaan tenaga menggunakan tenaga nuklear.

"Walaupun dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) tidak disebut perkara itu tetapi sudah ada beberapa kenyataan daripada NRECC (Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini yang pernah menyebut ia dalam pertimbangan menjelang tahun 2050.

"Sebab buat masa ini, kita tiada pilihan kerana kalau ingin capai karbon sifar menggunakan teknologi tenaga boleh baharu (RE) sahaja memang tidak akan berjaya kerana ini adalah senario di peringkat global. Malah, banyak pihak sudah akui bahawa mahu atau tidak kita perlu masukkan keperluan tenaga kita menggunakan nuklear," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Nuklear Malaysia bersama Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) di Dewan Tun Dr Ismail, Kompleks Agensi Nuklear Malaysia, Bangi, dekat sini, hari ini.  

Rosli berkata kebanyakan industri di luar juga sudah mula mempertimbangkan penggunaan tenaga nuklear secara serius berikutan bahan api fosil dan arang adalah penyumbang terbesar dalam pelepasan karbon pada masa kini.

"Tetapi, sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak itu bergantung kepada pertimbangan Kementerian Tenaga (Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam). Kita lihat nanti dasar bagi kementerian ini dalam dua ke tiga tahun akan datang," katanya.

Mengenai memorandum kerjasama yang dimeterai bersama AFES hari ini, beliau berkata ia bertujuan bagi memanfaatkan teknologi nuklear dalam menangani pencemaran alam sekitar dan memberi manfaat kepada rakyat dengan mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di Malaysia.

Katanya, skop kerjasama itu merangkumi penyelidikan penyinaran-pirolisis sisa plastik; perkembangan dan pengadaptasian tenologi nuklear dan yang berkaitan serta bersesuaian dengan industri kitar semula plastik; serta pembangunan loji berskala rintis bagi teknologi penyinaran-pirolisis.

"Diharapkan juga bahan bakar bernilai tinggi yang dihasilkan kelak dapat menyumbang kepada salah satu sumber baharu kepada negara dan secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Majlis pemeteraian kerjasama itu telah menyaksikan pertukaran MoU antara Rosli yang mewakili Nuklear Malaysia dengan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd merangkap Pengarah AFES, Datuk Mohd Zain Hasan.

Sementara itu, Mohd Zain berkata kolaborasi itu juga dilihat akan memanfaatkan teknologi nuklear canggih dalam pelaksanaan teknologi penukaran sisa plastik terpakai kepada bahan bakar seperti diesel serta pengitaran semula plastik terpakai secara inovatif.

-- BERNAMA

 

 


 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]