REMBAU, 12 Jan (Bernama) -- Pembinaan kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) berteknologi hijau pertama negara di kawasan perindustrian Chembong, dekat sini, bakal mewujudkan gelombang ekosistem baharu terutamanya dalam industri kenderaan elektrik (EV).
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kilang tersebut yang akan dibina secara bersama oleh Careplus Group Berhad dan GoAuto Group menerusi NexV Manufacturing Sdn Bhd di kawasan berkeluasan 29.68 hektar (73.34 ekar), membabitkan pelaburan bernilai RM840 juta secara berfasa.
Beliau berkata kilang yang akan dibina secara berperingkat sehingga 2028 itu dijangka dapat menarik lebih banyak jenama kenderaan EV atau komersial yang berhasrat melakukan pemasangan tempatan (CKD) di negara ini.
“Impak daripada pembinaan kilang ini adalah penjanaan ekonomi Negeri Sembilan secara mampan sekali gus menawarkan 600 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini terutamanya dalam bidang kemahiran.
“Diharap projek ini dapat merancakkan rangkaian pemasaran kenderaan EV di seluruh negara dan pembangunan sosioekonomi tempatan terutamanya di Rembau,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah kilang tersebut, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif NexV Manufacturing Lim Kwee Shyan dan Pengerusi Kumpulan GoAuto Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal.
Aminuddin berkata fasa pertama projek itu melibatkan kilang pemasangan akan bermula pada suku pertama tahun ini manakala fasa kedua dan ketiga masing-masing pada 2026 dan 2028.
Menurutnya, pembinaan kilang tersebut juga akan menjadikan Negeri Sembilan sebagai lokasi alternatif kepada mana-mana pihak dalam sektor pembuatan EV yang ingin melabur di Malaysia.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar terbuka dalam mengalu-alukan kemasukan pelabur terutamanya pemain industri berteknologi tinggi.
Sementara itu Lim berkata kilang tersebut bukan sahaja akan memasang kenderaan elektrik jenama mereka sendiri, namun terbuka kepada jenama NEV lain sama ada kenderaan penumpang, perdagangan atau motosikal elektrik yang berhasrat melakukan CKD.
Beliau berkata kapasiti pengeluaran kilang berkenaan adalah sekitar 30,000 unit setahun dan direka bentuk supaya dapat mencapai kapasiti pengeluaran maksimum sehingga 50,000 unit setahun.
Menurutnya, pembinaan kilang itu juga menggunakan sistem mesra alam iaitu buangan air sifar, tiada pencemaran air dan bunyi selain semua bahan buangan pepejal akan dihantar untuk di kitar semula.
Lim berkata bumbung kilang akan dipasang dengan solar yang mana sebahagian besar elektrik dapat dijana daripada teknologi tersebut seiring dengan matlamat mengembang dan menerokai potensi perniagaan dalam bidang teknologi hijau dan tenaga baharu.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terutamanya graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pihaknya turut menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi golongan muda tempatan bekerja dalam industri mobiliti hijau itu.
“Kami menjangkakan pengambilan dan latihan tenaga kerja dapat dilakukan pada suku ketiga tahun ini atau seawal Ogos nanti.
“Selain itu, perbincangan bersama Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Chembong turut diadakan bagi berkolaborasi sekali gus melahirkan graduan terlatih seterusnya diambil bekerja dengan kami,” kataya.
Pada majlis berkenaan, NexV Manufacturing turut memeterai perjanjian pemasangan tempatan dengan Hozon Auto, pengeluar EV jenama NETA dari China yang akan menjadikan NETA V sebagai produk pertama dipasang di kilang tersebut pada suku pertama 2025.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]