Berita

Putrajaya Setuju Serah Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik Sabah, Sesb Kepada Kerajaan Sabah



PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri Sabah secara berfasa, kata Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA).

"Keputusan ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963," kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Fasa satu yang melibatkan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah berkuat kuasa semalam, manakala fasa dua melibatkan penyerahan SESB dalam tempoh tujuh tahun yang dijangka selesai pada 2030.

"Dengan pelaksanaan pemindahan kuasa kawal selia itu, kerajaan negeri Sabah boleh melaksanakan perancangan dan pembangunan pembekalan elektrik di negeri Sabah dengan sendiri," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata kerajaan bersedia untuk bekerjasama dan memberi bimbingan sekiranya kerajaan Sabah memerlukan bantuan dan khidmat nasihat daripada kerajaan Persekutuan.

"Selepas penyerahan ini, adalah diharapkan kerajaan negeri Sabah akan sentiasa komited dalam menangani masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah, sekali gus memenuhi peningkatan permintaan elektrik di negeri berkenaan," menurutnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas berkata kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang berkuat kuasa pada 3 Jan 2024.

Anwar berkata walaupun kuasa kawal selia diserahkan kepada Sabah, kerajaan Persekutuan tetap akan terus membantu kerajaan negeri dalam mengukuhkan industri elektrik di Sabah melalui pemberian subsidi kepada SESB sehinggalah Pelan Tranformasi SESB berjaya dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2030.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]