Berita

Sesb Tidak Punya Kuasa Naik, Luluskan Tarif Elektrik Di Sabah - Pengerusi



KOTA KINABALU, 3 Jan (Bernama) -- Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau hari ini berkata syarikat itu tidak mempunyai kuasa untuk menaik atau meluluskan tarif elektrik di negeri itu.

Beliau berkata selepas Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Elektrik 2024 diluluskan oleh persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, kuasa menentukan perkara berkaitan tarif elektrik terletak pada  Jemaah Menteri Kerajaan Sabah atas cadangan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Madius berkata sebelum RUU itu diluluskan, hal ehwal berkaitan tarif elektrik di Sabah ditentukan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Saya melihat masih ramai yang keliru dengan perkara ini sehingga ada pelbagai pihak yang marah dengan SESB dan semasa persidangan khas DUN hari ini juga memperlihatkan masih ramai wakil rakyat yang tidak faham tentang hal ini.

"SESB berperanan sebagai sebuah syarikat utiliti yang berniaga membekalkan elektrik kepada pengguna… SESB hanya melaksana segala yang telah diluluskan berdasarkan apa yang dikawal selia dan dikuatkuasakan,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, persidangan khas DUN Sabah hari ini meluluskan tiga RUU berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga dan bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada Kerajaan Persekutuan.

RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan RUU Bekalan Elektrik 2024 itu diluluskan dengan suara terbanyak.

Madius juga berkata sehubungan itu, SESB tidak seharusnya dipersalah apabila ST pada 26 Dis lepas memaklumkan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini di Sabah dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Berimbang (ICPT).

“Keputusan pelarasan tarif ICPT itu di luar bidang kuasa SESB,” katanya.

ICPT merujuk kepada mekanisme yang diluluskan kerajaan dan dikawal selia oleh ST di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi membolehkan kos bahan api diselaras setiap enam bulan berdasarkan turun naik harga global.

Melalui pelaksanaan ICPT, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak akan dikenakan sebarang surcaj.

Pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj manakala pengguna bukan domestik dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 





    Berita Lain-lain

Sarawak Lepasi Sasaran Kapasiti Gabungan Tenaga Boleh Baharu Tahun Ini - Abang Johari

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.


Sarawak Pacu Pertumbuhan Tenaga Boleh Diperbaharui Untuk Manfaat ASEAN - Premier

SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.             


Belanjawan 2025 Percepat Peralihan Kepada Tenaga Bersih - Solarvest

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd. 


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]