KOTA KINABALU, 3 Jan (Bernama) -- Memantapkan keupayaan operasi Sabah Electricty Sdn Bhd (SESB) antara langkah pertama diberikan tumpuan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) selepas mengambil alih kawal selia pembekalan elektrik di Sabah daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata untuk kemapanan SESB pihaknya akan memastikan keupayaan kewangannya dapat dipertingkatkan bagi memastikan sistem pengoperasian berjalan lancar.
Beliau berkata bagi mengambil alih kuasa pengawalseliaan pembekalan elektrik di Sabah, pihaknya banyak membuat perancangan dan mengariskan beberapa perkara yang perlu dilakukan termasuk memantapkan keupayaan SESB sebagai pihak utama yang menyalurkan bekalan elektrik di negeri ini.
"Bagi memastikan ECoS beroperasi dengan baik, kita mengambil pekerja mahir yang diserap masuk daripada agensi lain termasuk lapan orang daripada ST. Kita memerlukan kira-kira 90 petugas dan lebih 70 telah diisi, selebihnya kita akan ambil pekerja baharu dengan semua petugas adalah warga Sabah," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Kuasa Kawal Selia Pembekalan Elektrik Sabah daripada ST kepada ECoS di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ST Datuk Abdul Razib Dawood berkata kuasa kawal selia yang diserahkan kepada ECoS itu meliputi kawal selia ekonomi, teknikal dan keselamatan elektrik.
"Dalam usaha memastikan ketersediaan pihak ECoS untuk mengambil alih fungsi dan tugas ST, perancangan dan persediaan telah bermula lebih dua tahun lepas.
"Beberapa sesi perkongsian pengetahuan seperti program shadow training, penempatan pekerja dan perkongsian maklumat serta sesi bengkel pemindahan pengetahuan ST-ECoS turut dijalankan. Selain itu, serahan teknologi maklumat, perisian dan dokumen dilaksanakan, di samping penyerapan pegawai ST ke ECoS," katanya.
Beliau berkata persediaan rapi penting bagi memastikan tiada gangguan bekalan atau operasi dialami pengguna, pemegang lesen serta pihak industri di Sabah setelah penyerahan kuasa dilaksanakan.
"ST yakin pihak ECoS telah bersedia sepenuhnya untuk mengambil alih pengawalseliaan pembekalan elektrik di Sabah dan akan tetap memberikan sokongan apabila perlu.
"Susulan keputusan kerajaan Persekutuan bahawa pembekalan elektrik bagi Wilayah Persekutuan Labuan dikekalkan di bawah kerajaan Persekutuan, pihak ST akan membuka pejabat di Labuan bagi memastikan kawal selia pembekalan elektrik berjalan lancar," katanya.
Terdahulu, persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga rang undang-undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia tenaga dan bekalan elektrik oleh kerajaan negeri daripada kerajaan Persekutuan.
RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024 dan RUU Bekalan Elektrik 2024 itu diluluskan dengan suara terbanyak.
-- BERNAMA
Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak mencapai 62 peratus sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) tahun ini, melepasi sasaran 60 peratus yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
SINGAPURA, 21 Okt (Bernama) -- Sarawak komited menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara dengan memanfaatkan potensinya sebagai "Bateri ASEAN," yang akan membekalkan tenaga bersih menerusi sambungan Grid Kuasa Borneo dan ASEAN.
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 merupakan satu langkah ke arah mempercepat peralihan kepada tenaga bersih di Malaysia, kata Solarvest Holdings Bhd.
© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved.
Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]