Berita

Ambil Alih Kawal Selia Elektrik, Tenaga Boleh Baharu Pastikan Bekalan Stabil - Hajiji



KOTA KINABALU, 3 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sabah melihat pengambilalihan kuasa kawal selia ke atas bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan Persekutuan akan memudahkan perlaksanaan pelan mantap bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata inisiatif itu akan memberi manfaat kepada pembangunan sosio ekonomi Sabah melalui penyediaan bekalan tenaga mencukupi, stabil, berpatutan dan mampan selaras dengan Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

“SE-RAMP 2040 dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan dilancarkan pada September lepas bagi menyokong pelan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya selepas persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Pada persidangan khas itu, DUN Sabah meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) bagi memberi ruang kepada negeri itu untuk secara rasmi mengambil alih kuasa mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan Persekutuan.

Ia membabitkan RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, RUU Bekalan Elektrik 2024, dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024.

Selepas pewartaan enakmen itu, ECoS akan menjadi badan berkuasa yang mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah berkuat kuasa serta- merta.

ECoS memperoleh kuasa kawal selia ke atas sektor bekalan gas daratan sejak 10 Jan tahun lepas.

Hajiji berkata kerajaan Sabah melalui ECoS akan memastikan proses pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dilaksanakan secara berkesan dan teratur tanpa sebarang gangguan kepada pihak pemegang taruh dalam industri bekalan elektrik di negeri ini.

“Inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

-- BERNAMA

 

 





    Berita Lain-lain

Solarvest Akan Pasang Panel Fotovoltaik Solar Terbesar Di Malaysia Di Pusat Beli Belah 1 Utama

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.


Verdant Solar Sasar 2,600 Pemasangan Panel Pada Tahun Ini - Ceo

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga solar, Verdant Solar Sdn Bhd menyasarkan untuk menggandakan bilangan pemasangan panel solarnya kepada 2,600 pada tahun ini berbanding 1,300 pada 2023.


Aidilfitri: Orang Ramai Dinasihat Utamakan Keselamatan Elektrik Dan Gas - St

PUTRAJAYA, 8 April 2024 (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan elektrik dan gas menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.


    Main Sponsor


    Quotes



© 2024 BERNAMA. All Rights Reserved. Disclaimer | Privacy Policy | Security Policy This material may not be published, broadcast,
rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.

Contact us :
General [ +603-2693 9933, helpdesk@bernama.com ]
Product/Service Enquiries [ +603-2050 4466, digitalsales@bernama.com ]